Kahwin kontrak tidak wujud di Kelantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Tidak ada sebarang prosedur kahwin kontrak wujud di negeri ini, demikian tegas Pejabat Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta Kelantan.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, pihaknya mengesahkan perkara itu tidak berlaku selepas mendapatkan maklumat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik).

"Semakan juga mendapati bahawa Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Jaheiak belum pernah menerima aduan berkenaan kahwin kontrak di negeri ini.

"Berdasarkan statistik perkahwinan dengan warga asing di negeri Kelantan yang dikeluarkan oleh Jaheaik, sejumlah 670 perkahwinan didaftarkan dalam tahun 2019 sehingga 2023 mengikut prosedur biasa jabatan agama dan bukanlah atas terma kahwin kontrak sebagaimana yang digembar-gemburkan," katanya.

Kenyataan itu menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan laporan media terhadap wujudnya kahwin kontrak atau nikah mutaah di Kelantan kerana ia tidak sah dari segi hukum syarak.

Ujarnya, pihak media juga disarankan agar lebih berhati-hati menggunakan terma melibatkan hukum-hakam dalam pelaporan media, sekalipun sebagai bahan pelaris agar tidak menyebabkan kecelaruan dalam masyarakat.

Sebuah media tempatan sebelum ini melaporkan berita mengenai isu kahwin kontrak dengan lelaki asing pada 8 Januari lalu.

Artikel tersebut kemudiannya dipetik dan dikongsi secara meluas dengan mengaitkan wujudnya prosedur kahwin kontrak di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!