[VIDEO] Abot, Rambai 'kerja keras' pujuk empat gajah liar
LENGGONG - Sekali lagi khidmat gajah denak betina, Ambot dan Rambai digunakan bagi memujuk empat gajah liar di Kampung Chepor dekat sini pada Khamis.
Gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang itu sebelum ini berjaya melaksanakan operasi pemindahan di Sungai Siput serta Sik, Kedah itu pada Isnin dan Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, operasi memindahkan empat gajah liar yang ditangkap pada Jumaat dan Isnin lalu dilaksanakan selama dua hari.
Menurut beliau, translokasi mamalia berkenaan merupakan operasi terbesar dilaksanakan di Perak tahun ini.
"Gajah jantan diberi nama Yob Napi dianggarkan berusia 35 tahun dan gajah betina, Yong Hani masing-masing berusia 50 tahun dipindahkan hari ini (Khamis).
"Dua ekor lagi iaitu jantan dan betina akan kita pindahkan pada Sabtu kerana kita tidak mahu gajah denak ini tidak terlampau tertekan dan letih dalam operasi ini.
"Gajah ini akan dilepaskan ke Hutan Simpan Belum, Gerik," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Yusoff berkata, kesemua gajah dari kumpulan ID Piah ini mula dikesan memasuki kawasan kampung sejak dua bulan lalu berikutan aduan kerosakan tanaman.
"Mengikut kiraan, terdapat 27 ekor gajah yang dipecahkan kepada dua yang mana 13 hingga 14 ekor bagi satu kumpulan.
"Kawanan gajah lain kita sudah halau kembali ke Hutan Simpan Piah. Sekiranya dikesan mula masuk kampung, kita akan ambil tindakan tangkap," katanya.
Operasi pemindahan gajah itu bermula pada jam 9 pagi disertai 30 kakitangan PKGK Kuala Gandah dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Perak.
Sementara itu, penduduk, Wan Mohamad Noor Othman, 60, berasa lega dengan tindakan Perhilitan yang berjaya memindahkan mamalia yang telah merosakkan tanaman kelapa sawit dan kelapa miliknya.
"Kali ini, kumpulan gajah telah merosakkan lebih 100 pokok dan memusnahkan anak pokok kelapa sawit sejak dua bulan lalu
"Saya tahu ada lagi kawanan yang masih berkeliaran di hutan simpan berhampiran namun, saya rasa lega lah gajah yang masuk kampung ini berjaya dipindahkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!