Himpunan Hari Bertindak Global untuk Gaza Sabtu ini
SHAH ALAM - Himpunan ‘Hari Bertindak Global: Gencatan Senjata Sekarang, Hentikan Perang di Gaza’ di Malaysia akan diadakan berhampiran Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur pada Sabtu ini dari jam 12 tengah hari hingga 3 petang.
Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohammad Fazril Mohd Saleh berkata, bersempena Hari Bertindak Global untuk Gaza itu yang dianjurkan di seluruh dunia secara serentak, belia Malaysia menggesa rakyat hadir memberikan sokongan dan bersolidariti bersama seluruh masyarakat global.
Kata Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu, ia sebagai tanda rakyat negara ini bersatu mendesak gencatan senjata kekal demi menghentikan genosid di Gaza serta menamatkan penjajahan dan pengakhiran dasar aparteid Israel.
“Mewakili belia Malaysia, MBM dan seluruh badan gabungan menyeru seluruh rakyat untuk menyatakan sikap, menzahirkan sokongan dan meningkatkan usaha desakan dan advokasi dalam pelbagai cara untuk menamatkan peperangan ini.
“Tidak dapat dibayangkan, dengan akal yang waras dalam dunia serba moden ini, kebiadaban suatu bangsa angkuh seperti Israel yang membantai dan membunuh manusia saban hari dibiarkan terus berlaku sehingga mencecah hampir 100 hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohammad Fazril menegaskan, perang genosid Israel ke atas Gaza yang hampir memasuki hari ke-100 ketika ini merupakan suatu sisi gelap sejarah kemanusiaan dalam peradaban dunia.
Menurutnya, ketika seluruh dunia lantang mendesak pembantaian oleh Israel dihentikan, Israel dengan sokongan segelintir kecil negara yang mengaku kuasa dunia, terus menerus mengebom kediaman, fasiliti kesihatan, prasarana awam, malah tanpa segan silu menghancurkan fasiliti yang dibangunkan oleh badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Angka korban yang kian meningkat kini mencecah lebih 20,000 nyawa menjadi mangsa kekejaman, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, warga tua, wartawan, petugas PBB dan ramai lagi, manakala beribu-ribu lagi warga Palestin masih hilang dan dianggap telah terbunuh di bawah runtuhan kediaman serta premis akibat dibom secara tidak berperikemanusiaan oleh tentera penjajah Israel.
“Akibatnya, dianggarkan lebih 1.7 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal dan berdepan dengan masalah kebuluran, di samping terdedah kepada ancaman pelbagai wabak penyakit yang memudaratkan,” ujarnya.
Mohammad Fazril berkata, masyarakat antarabangsa gagal bertindak untuk menuntut supaya Israel menghentikan serangannya dan mengenakan gencatan senjata untuk menamatkan pembunuhan ribuan mangsa.
Oleh itu, tegas beliau, MBM dan seluruh badan gabungan juga mendesak agar segala usaha untuk mengheret Israel ke muka pengadilan digiatkan agar terhentinya secara kekal kezaliman yang berterusan selama lebih tujuh dekad ke atas warga Palestin.
Badan gabungan dan bersekutu MBM terdiri daripada 41 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk ABIM, Briged Putera Malaysia, Briged Puteri Malaysia, Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Gerakan Belia 4B Malaysia, Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBBM), Majlis Belia Hindu Malaysia (HYO) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!