Kementerian Perladangan dan Komoditi akan teliti isu cukai keuntungan luar biasa

Johari ditemui media selepas pelancaran Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. Foto Bernama
Johari ditemui media selepas pelancaran Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perladangan dan Komoditi akan meneliti isu levi keuntungan luar biasa yang dibangkitkan oleh penggiat industri dan mengadakan perundingan dengan pihak berkaitan, kata Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, kadar levi keuntungan luar biasa sebanyak 3.0 peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi 3,500 ringgit setan metrik di Sabah dan Sarawak, bagaimanapun pemain industri meluahkan kebimbangan mereka kerana kos telah meningkat kepada hampir RM3,000 setiap tan.

"Dulu kos adalah antara RM1,500 dan RM1,800, kini melonjak kepada RM2,800 hingga RM3,000, malah lebih tinggi di kawasan tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024 hari ini.

Johari melawat ruang pameran selepas merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. Foto Bernama
Johari melawat ruang pameran selepas merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. Foto Bernama

Tambah beliau, memandangkan kos semasa yang meningkat, pelarasan tertentu perlu, justeru kementerian akan menjalankan pemeriksaan kos yang lebih teliti.

Mengenai isu kekurangan pekerja yang dihadapi oleh industri, Johari mencadangkan pengenalan program Latihan Vokasional dan Pendidikan Teknikal (TVET) untuk penuai kelapa sawit.

"Kita mempunyai 5.67 juta hektar kawasan tanaman sawit di Malaysia tetapi tidak mempunyai penuai yang mencukupi, oleh itu program TVET boleh diperkenalkan untuk penuai yang boleh diuruskan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” katanya.

Johari merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. Foto Bernama
Johari merasmikan Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit 2024. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Digabungkan dengan penuaian mekanikal MPOB, langkah itu sepatutnya membantu menangani kekurangan buruh, pihak berkepentingan dalam industri berkenaan harus mengiktiraf penuai sebagai satu profesion dan gaji mereka tidak seharusnya setara dengan pekerja asing, kata Johari.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, isu berterusan kekurangan tenaga kerja dalam sektor minyak sawit telah mengakibatkan kerugian pengeluaran dan hasil yang rendah, ia telah menghalang pengeluaran minyak sawit daripada mencapai potensi penuhnya pada 2022 dan 2023.

"Sebagai contoh, pembekuan pengambilan pekerja asing mengakibatkan kekurangan 55,000 pekerja dalam sektor minyak sawit pada Disember 2022.

"Walaupun terdapat beberapa halangan awal, keadaan buruh beransur pulih dengan pembukaan semula pintu sempadan Malaysia menyebabkan sedikit peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit mentah pada akhir 2023,” katanya.

Johari berkata, kerajaan komited untuk memastikan pengurusan pekerja asing yang cekap untuk menangani situasi buruh kritikal dalam sektor perladangan.

Bertemakan ‘Memenuhi Keperluan Global dengan Minyak Sawit Mampan’, seminar berkenaan menarik 400 peserta tempatan dan antarabangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!