[VIDEO] Siasatan SPRM menyeluruh bukan sasar bekas pemimpin negara - Anwar

A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan menegaskan siasatan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini, tidak semata-mata menyasarkan bekas-bekas pemimpin negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan dibuat SPRM dilakukan dengan teliti demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dalam membanteras politik rasuah tanpa mengira status.

"Itu urusan SPRM. Saya tidak mahu orang anggap perkara ini (rasuah) kecil. Kes baharu atau lama akan disiasat.

"Jika tak salah, tak perlu bimbang, kerana siasatan dilakukan dengan teliti dan pendakwaan akan dikemukakan sekiranya ada bukti kukuh.

"Tetapi janganlah sesetengah orang anggap ini soal pihak tertentu kerana ini akan memberikan gambaran seolah-olah ada orang-orang besar atau jerung-jerung besar terlepas. Saya tidak mahu (dianggap) memerangi rasuah dengan menekan (bekas pemimpin) di bawah," ujarnya.

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Ramah Mesra bersama warga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini pada Khamis.

Pada Rabu, SPRM dilaporkan mengesahkan telah merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membantu siasatan berhubung dana RM700 juta bagi tujuan publisiti dan promosi semasa pentadbiran kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Selain Ahli Parlimen Bera, SPRM turut mengesahkan memanggil isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim iaitu Toh Puan Naimah, dan dua anaknya Muhammad Amin Zainuddin dan Muhammad Amir Zainuddin di Ibu Pejabat SPRM bagi dirakamkan keterangan mereka.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, keterangan ketiga-tiga ahli keluarga tokoh konglomerat ini diambil bagi memastikan beberapa perkara berhubung aset bernilai tinggi di dalam dan di luar negara yang berada di bawah nama syarikat kepunyaan mereka serta terkait dengan siasatan terhadap Daim.

Anwar bersama warga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada Khamis.
di sini pada Khamis.
Anwar bersama warga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada Khamis. di sini pada Khamis.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada majlis itu berkata, pembangunan negara akan terbantut jika rasuah berleluasa.

Justeri, beliau tidak kisah dirinya dicemuh segelintir pihak disebabkan tindakan agresif pentadbirannya memerangi rasuah.

"Sekiranya hendak selamatkan negara kena bersihkannya supaya jangan ada lagi pemimpin yang curi duit dan harta negara lagi.

"Amalan yang nak bunuh kedudukan, menyalahgunakan pangkat dan ambil kesempatan menerima sogokan perkayakan diri adalah amalan yang sebabkan Malaysia kecundang dalam banyak hal dan perlu dihentikan

"Maksud saya ini termasuk jika ada kedudukan dengan gunakannya nak perkayakan anak isteri. Walau saya tahu ada yang tak senang (tindakan perangi rasuah) namun ia perlu dilakukan bagi selamatkan negara. Negara harus bersih dari rasuah," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah sekiranya negara kehilangan wang berbilion ringgit disebabkan rasuah banyak kemudahan tidak dapat disiapkan untuk rakyat.

"Jika negara hilang berbilion-bilion ringgit (akibat rasuah) bagaimana kerajaan nak baiki sektor kesihatan, pendidikan dan sediakan prasarana untuk rakyat.

"Begitu juga dengan projek membaiki tandas sekolah dan baik pulih sekolah daif. Kemudahan rakyat dalam sektor pendidikan dan kesihatan semuanya akan terbantut kerana wang untuk bangunkan negara dicuri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!