Anak Mat Sabu diarah bela diri
KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini mengarahkan anak Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu membela diri atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka tahun lalu.
Terdahulu, Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim ketika prosiding berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie di akhir pendakwaan terhadap Ahmad Saiful Islam Mohamad.
Ahmad Saiful kelihatan tenang dalam kandang tertuduh semasa Mohamad Aizat membuat keputusan tersebut sambil didengar orang awam yang turut memenuhi ruang duduk di dalam mahkamah berkenaan.
Mohamad Aizat membuat keputusan itu selepas meneliti hujah dan keterangan enam saksi.
“Daripada keterangan saksi, mahkamah mendapati rantaian kes pendakwaan tidak pernah terputus dan kes siasatan berjalan dengan teratur.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keterangan dan hujahan, mahkamah memutuskan pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dan tertuduh diperintah untuk membela diri,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 13 Februari depan bagi tarikh bela diri.
Jun lalu media tempatan melaporkan, Ahmad Saiful dikenakan enam tuduhan mengambil dadah, namun dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Ahmad Saiful didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu dengan mengambil dadah THC di sebuah pusat hiburan, kira-kira jam 2 pagi pada 5 Januari 2019.
ARTIKEL BERKAITAN: Anak positif ganja: Mat Sabu serah kepada polis
Anak Mat Sabu diikat jamin RM3,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!