Solidariti Bersama Palestin: Jangan hanya jadi pemerhati pasif
HARI ini merupakan penentu dalam usaha mencari keadilan bagi Palestin ketika Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memulakan prosiding lisan dalam kes yang difailkan oleh Afrika Selatan - secara tidak langsung menggunakan Konvensyen Genosid sebagai respons terhadap serangan tentera Israel yang berterusan di Gaza.
Hari ini juga, Afrika Selatan akan membentangkan hujahnya, diikuti oleh Israel pada Jumaat ini. Kes yang dibawa Afrika Selatan ini merupakan tindakan segera yang mesti diambil bersama rakyat Palestin dan peluang untuk menekan kerajaan di seluruh dunia atas keterlibatan mereka dengan rejim Israel.
Sementara kita bersatu dalam gerakan global mengutuk kekejaman Israel, adalah penting untuk kita menyedari bahawa hari ini bukan hanya saat genting untuk masyarakat antarabangsa, tetapi juga satu persimpangan penting untuk Malaysia.
Kerajaan Malaysia harus melangkah lebih jauh dari hanya sekadar menjadi pemerhati pasif dan perlu mempertimbangkan kemungkinan campur tangan dalam konflik kemanusiaan ini, sebagai satu tanggungjawab dan peluang untuk menyumbang ke arah mencari jalan penyelesaian dan keadilan.
Statut ICJ menyediakan dua laluan bagi sesebuah negara untuk campur tangan:
Artikel 62: Campur tangan di mana sesebuah negara boleh mengemukakan permintaan di bawah Artikel 62 jika ia percaya kepentingan undang-undang negara boleh terjejas disebabkan kes tersebut.
ICJ akan memutuskan permintaan berdasarkan syarat dalam Artikel 62, dengan budi bicara terhadap kekurangan kejelasan mengenai syarat-syarat tersebut.
Permohonan campur tangan di bawah Artikel 62 adalah jarang berlaku, - kira-kira 8 peratus kes, melibat hanya 3 kes.
Artikel 63: Campur tangan menyediakan laluan yang membolehkan sebuah negara anggota konvensyen campur tangan apabila kandungan konvensyen itu dipertikaikan.
Negara mempunyai hak untuk campur tangan di bawah Artikel 63 – sehingga kini, hanya 3 peratus yang difailkan, dan dua daripadanya telah diterima.
Negara-negara anggota Statut ICJ telah memberi persetujuan awal kepada keupayaan ICJ untuk memutuskan status campur tangan di bawah Artikel 62 dan Artikel 63.
Dalam sejarah ICJ, percubaan campur tangan di bawah kedua-dua artikel ini adalah jarang berlaku, sekaligus menunjukkan kepentingan dan penglibatan aktif oleh sebuah negara yang berkepentingan untuk mempengaruhi dan membentuk keputusan mahkamah.
Malaysia boleh mengambil langkah awal dengan meminta salinan pembelaan dan dokumen kes di bawah Artikel 53(1) untuk memberikan peluang sebagai pemerhati aktif dan terlibat dalam prosiding yang dijalankan.
Prosiding ICJ akan disiarkan secara langsung di laman web mahkamah dan United Nations (UN) Web TV.
Justeru, kami menyeru rakyat Malaysia untuk mengikuti rapat prosiding ini serta menggunakan suara bagi memperjuangkan keadilan, sekaligus menghantar mesej jelas kepada pemimpin kerajaan di seluruh dunia bahawa mereka juga mungkin dianggap bertanggungjawab atas pelanggaran Konvensyen Genosid ini.
AZRIL MOHD AMIN
Pengasas dan Pengerusi
Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!