SSM, YIM meterai MoU bangunkan STIE

Nor Azimah (kiri) dan Sharmila (kanan) bertukar dokumen MoU pada Majlis menandatangani MoU membangunkan serta mempromosi STIE dalam negara.
Nor Azimah (kiri) dan Sharmila (kanan) bertukar dokumen MoU pada Majlis menandatangani MoU membangunkan serta mempromosi STIE dalam negara.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Yayasan Inovasi (YIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai inisiatif membangunkan serta mempromosi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Azizi berkata, kerjasama itu bertujuan menggalakkan pendaftaran perniagaan daripada golongan inovator supaya mendaftar di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) atau Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S101P) secara percuma berdasarkan syarat yang ditetapkan.

SSM dan YIM memeterai MoU sebagai inisiatif membangunkan serta mempromosi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi dalam negara.
SSM dan YIM memeterai MoU sebagai inisiatif membangunkan serta mempromosi Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi dalam negara.

“SPPP diperkenalkan pada 23 Disember 2020 untuk memberi peluang kepada usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta dalam negara untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan SSM.

“Setakat 31 Disember 2023, jumlah yang berjaya didaftarkan secara percuma melalui SPPP adalah sebanyak 94,555 iaitu terdiri daripada 48,673 pelajar IPT sepenuh masa dan 45,882 usahawan kumpulan B40,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Turut hadir ke majlis tandatangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Sharmila Mohamed Salleh; Pengerusi SSM, Ahmad Sabki Yusof dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Datin Paduka Setia Datuk Dr Aini Ideris.

Tambah Nor Azimah, S1O1P merupakan satu inisiatif bagi golongan orang kurang upaya (OKU) mendaftarkan perniagaan di bawah SSM tanpa sebarang yuran pendaftaran dan pembaharuan.

Ujarnya, sebanyak 17,542 perniagaan telah didaftarkan di bawah inisiatif tersebut sehingga 31 Disember 2023.

Artikel Berkaitan:

“Dengan termeterainya MoU ini, saya percaya pihak YIM dan SSM akan melaksanakan program-program yang telah dikenal pasti bagi memberikan peluang kepada lebih banyak inovator seluruh Malaysia untuk mendaftarkan perniagaan.

“Ia juga akan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendaftaran perniagaan dalam usaha membangunkan ekonomi negara,” jelasnya,

Sementara itu, Sharmila berkata, pemeteraian MoU itu selari dengan komitmen YIM untuk membangun dan menggalakkan kemahiran kreatif dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Menurutnya, aspek tersebut turut merangkumi kluster akademik, industri dan masyarakat, dengan memanfaatkan sumber manusia yang cekap serta produktif dalam pelbagai kemahiran untuk mengatasi cabaran melalui program latihan dan pembangunan.

“Ia juga selaras dengan Azam YIM 2024 untuk menjangkau 20,000 orang dari dalam dan luar negara berkenaan topik inovasi dengan memberikan bantuan serta pendedahan berimpak positif kepada 8,000 inovator tempatan.

“Kami akan bekerjasama mempromosikan inovasi, keusahawanan dan pembangunan ekonomi melalui skim berkaitan menerusi pendaftaran perniagaan termasuk sokongan bagi mereka yang berkelayakan,” ujarnya.

Tambah beliau, MoU itu bukan sahaja satu perjanjian bertulis, tetapi merupakan janji dan komitmen YIM serta SSM untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi yang dinamik dan progresif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!