'Salam metal' bukan simbol sokong Ganjar-Mahfud MD
JAKARTA - Aksi Wakil Presiden (wapres) Indonesia, Ma'ruf Amin menunjukkan 'salam metal' ketika menghadiri Peringatan Hari Ulang Tahun (HUT) ke-51 Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di ibu kota pada Rabu menjadi tular di media sosial.
Warganet mula mempersoalkan pendirian berkecuali Ma'ruf berikutan PDIP berada dalam senarai No. Siri Tiga pada Pemilihan Umum (Pemilu) 2024.
Selain itu, calon presiden (capres) dan calon wakil presiden (cawapres) yang mewakili PDIP iaitu Ganjar Pranowo-Mahfud MD juga di bawah No. Siri Tiga pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Bagi menjawab persoalan banyak pihak, jurucakap wapres, Masduki Baidlowi memberitahu simbol 'salam metal' itu hanyalah satu bentuk keakraban dan penghargaan terhadap HUT PDIP.
"Orang ramai tidak sepatutnya membuat spekulasi kononnya beliau menyokong capres-cawapres tertentu pada pemilihan bulan depan," jelasnya.
Menurutnya lagi, Ma'ruf kekal dalam posisi neutral untuk Pilpres 2024.
"Simbol itu sudah lama digunakan PDIP. 'Metal' menunjukkan akronim merah secara total yang mewakili warna bendera parti tersebut," tambahnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!