'Esok mula kosong-kosong' - Aaron

Aaron (kiri) dan Wooi Yik (kanan) akan menentang pasangan Korea Selatan dalam aksi suku akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Aaron (kiri) dan Wooi Yik (kanan) akan menentang pasangan Korea Selatan dalam aksi suku akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan mara ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 setelah menewaskan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam aksi pusingan kedua di Bukit Jalil pada Khamis.

Dalam aksi di Axiata Arena tersebut, pilihan ketiga kejohanan itu menang mudah pada set pertama 21-15 dan mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 37 minit permainan.

Kejayaan beregu nombor empat dunia itu mengatasi pencapaian edisi lalu setelah mereka tersekat pada pusingan kedua selepas tewas dalam pertarungan straight set 10-21, 21-23 kepada gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Menanti Aaron-Wooi Yik dalam aksi suku akhir pada Jumaat ialah juara Kejohanan Dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-13, 21-14.

Pasangan dari Korea Selatan itu juga merupakan juara Siri Jelajah Dunia Akhir 2023 di Hangzhou, China setelah menewaskan Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 21-17, 22-20.

Aaron-Wooi Yik pula mengungguli Kejohanan Dunia pada 2022.

"Sudah banyak kali lawan (pasangan Korea Selatan). Mereka ambil (juara Siri Jelajah Dunia Akhir). Sekarang 2024, mereka juga ambil 2023 (juara dunia) jadi sekarang sudah lain.

"Kita mula kosong-kosong. Kami akan buat persediaan terbaik dan bincang dengan jurulatih untuk aksi esok (Jumaat)," ujar Aaron.

Artikel Berkaitan:

Pencapaian terbaik Wooi Yik-Aaron dalam saingan Terbuka Malaysia ialah mara ke aksi separuh akhir edisi 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!