Pemuda cedera dipukul lapan lelaki guna kayu
BATU PAHAT - Seorang pemuda cedera selepas dipukul sekumpulan lapan lelaki dengan kayu di kawasan lapang Tapak Pesta, Jalan Gangsa di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 25 tahun pergi ke lokasi kejadian untuk menjemput rakan pulang dari sekolah.
"Semasa menunggu rakan tersebut, mangsa telah didatangi lapan lelaki yang dipercayai warga tempatan dan menyerang serta memukul mangsa menggunakan kayu.
“Mangsa berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta dan terus ke Balai Polis Batu Pahat bagi membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, mangsa telah mengalami cedera di pipi, tangan, belakang dan telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Susulan kejadian itu katanya, seramai lima lelaki berusia 16 hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Semua suspek direman selama tiga hari sehingga esok dan polis kini mengesan suspek lain yang terlibat,” ujarnya.
Ismail berkata, motif kejadian disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek pada hari sebelum kejadian.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!