Afrika Selatan 'serang' Israel di ICJ

Peserta protes berhimpun di luar Mahkamah Tinggi di Cape Town sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin pada Khamis. - Foto: AFP
Peserta protes berhimpun di luar Mahkamah Tinggi di Cape Town sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin pada Khamis. - Foto: AFP
A
A
A

THE HAGUE - Afrika Selatan mendakwa Israel melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari pertama perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Khamis.

Pretoria turut mengemukakan rayuan kepada tribunal tersebut supaya menggesa rejim Tel Aviv 'menggantung' serta-merta operasi ketenteraan yang kini memasuki bulan keempat di Genting Gaza.

Sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) itu bagaimanapun menolak kes tersebut yang disifatkan kononnya sebagai 'tidak masuk akal' dan berikrar untuk mengemukakan hujah pembelaan pada Jumaat.

"Serangan balas Israel yang dilancarkan pada 7 Oktober lalu telah melangkaui garisan dan mencabuli komitmen di bawah konvensyen tersebut yang dimeterai pada 1948," ujar Menteri Kehakiman, Ronald Lamola.

Kempen pengeboman ganas dilancarkan rejim Zionis sejak lebih tiga bulan lalu telah meragut sekurang-kurangnya 23,357 nyawa.

Sementara itu, peguam terkemuka Afrika Selatan, Adila Hassim berkata, operasi ketenteraan Israel yang membabi buta bertujuan untuk menghancurkan kehidupan penduduk Palestin dan menyebabkan mereka berada di ambang kebuluran.

"Jenayah genosid itu tidak pernah disahkan, namun mahkamah ini boleh melihat kepada bukti sejak 13 minggu lalu yang sememangnya tidak dapat dipertikaikan dan menunjukkan tindakan kejam pembunuhan beramai-ramai secara jelas," jelasnya.

Difahamkan, Afrika Selatan telah menjadi penyokong kuat tuntutan penduduk Palestin malah parti pemerintah, Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) mengaitkannya dengan perjuangan mereka yang menentang dasar aparteid.

Artikel Berkaitan:

Sejak perang Gaza bermula, Pretoria turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel sebagai respons terhadap kezaliman dan keganasan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Gaza. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!