Dorival Junior ikrar kembalikan kecemerlangan Brazil

Dorival Junior. Foto AFP
Dorival Junior. Foto AFP
A
A
A

DORIVAL Junior diumumkan sebagai ketua jurulatih Brazil dan berikrar untuk mengubah nasib pasukan itu selepas mencatat keputusan buruk dalam pusingan kelayakan Zon Amerika Selatan ke Piala Dunia 2026.

Bekas jurulatih Sao Paulo itu menandatangani kontrak sehingga Disember 2026 dan mengambil alih tugas selepas pemecatan Fernando Diniz.

“Hari ini saya di sini mewakili pasukan yang memberi inspirasi kepada ramai orang di seluruh dunia.

“Situasi kami sukar. Tetapi tiada yang mustahil untuk memperbaiki keadaan dengan cepat,” katanya.

Juara dunia lima kali itu telah melalui persembahan hambar sejak tersingkir daripada Piala Dunia 2022 di peringkat suku akhir.

Kekalahan menerusi sepakan penalti kepada Croatia menyebabkan pengendali sebelum itu, Tite meletakkan jawatan.

Brazil kemudian dibimbing oleh jurulatih Bawah 20 tahun, Ramon Menezes sebelum pelantikan sementara Diniz tahun lalu.

Mereka telah tewas tiga daripada enam perlawanan kelayakan mereka setakat ini dan hanya memenangi dua perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Dorival muncul sebagai calon utama untuk tugas itu selepas jurulatih Itali, Carlo Ancelotti tidak mahu bersama pasukan itu apabila melanjutkan kontraknya dengan Real Madrid.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!