Kaji semula cadangan penutupan Uniten - Pemuda Pas

Uniten dan TNB diminta mengkaji semula penutupan universiti itu. Gambar kecil: Ahmad Azlan
Uniten dan TNB diminta mengkaji semula penutupan universiti itu. Gambar kecil: Ahmad Azlan
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) diharapkan mengkaji semula cadangan penutupan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Muadzam Shah, Rompin kerana ia memberi implikasi kurang baik khususnya kepada kelangsungan pendidikan anak-anak muda dan pembangunan ekonomi setempat.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, pihak Uniten dan TNB boleh melipatgandakan promosi khususnya program profesional huffaz yang kini antara program yang sangat mendapat sambutan di kalangan anak muda dan ibu bapa.

Ahmad Azlan
Ahmad Azlan



"Muadzam Shah sinonim dengan gelaran hab pendidikan Pahang kerana terdapatnya Uniten, politeknik, kolej vokasional, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan beberapa sekolah harian di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

"Sebagai anak jati Muadzam Shah saya melihat perkembangan sebelum dan selepas wujudnya Uniten di Muadzam Shah yang telah banyak memberi manfaat kepada penduduk setempat.

"Ia juga telah menggalakkan perkembangan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya buat penduduk di DUN (Dewan Undangan Negeri) Muadzam Shah secara khususnya dan Parlimen Rompin secara amnya," ujarnya.

Pada Khamis, Kerajaan Pahang tidak bersetuju terhadap cadangan penutupan universiti terbabit dan mahu ia dikaji semula.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas membuat keputusan sebulat suara dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

"Penutupan pengoperasian Uniten tersebut akan memberi implikasi yang tidak baik kepada rakyat terutama berkaitan kelangsungan pengajian anak-anak muda dan peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!