Lengkapkan diri dengan antibodi kuat jadi insan beradab
SIKAP biadab yang meresapi segelintir anak muda dilihat begitu membimbangkan. Masakan tidak, merekalah bakal tonggak umat hari ini, sekali gus memberi gambaran generasi pada masa akan datang.
Amat malang bagi umat andai pewarisnya adalah dalam kalangan mereka tiada susila yang bagus.
Demikian komentar Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Dr Fauzi Deraman terhadap krisis adab dan akhlak yang kian terhakis sekarang.
“Sikap ini mungkin berpunca daripada lunturnya sistem nilai dan prinsip akhlak yang berpaksikan agama, selain membesar dengan perkara yang menyalahi nilai-nilai murni sejagat, apalagi dengan akhlak Islam,“ katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Begitu signifikannya usia muda dalam hidup dan perlu diberikan perhatian khusus, ungkap pendakwah senior itu.
Masakan tidak, Rasulullah SAW menjadikannya sebagai salah satu perkara yang akan dipertanggungjawabkan dan ditanya di padang mahsyar dengan lontaran soalan ‘Mudanya ke mana dihabiskan?‘
“Disebabkan itu Islam mewajibkan pendidikan anak muda dengan pembelajaran bersepadu merangkumi aspek pemikiran, spiritual dan akhlak. Penting untuk mereka mempunyai hala tuju yang jelas untuk masa hadapan masing-masing.
“Jadi mereka perlu memilih ikon terbaik sebagai model untuk diteladani dalam membentuk diri dan watak mereka. Mahu atau tidak, anak muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebagai aset kehidupan. Tanpa ilmu, apalah makna kehidupan ini.
“Bahkan, mereka mesti dilengkapi antibodi yang kuat supaya memiliki sifat rasional yang tinggi, tidak terikut-ikut dengan emosi dan perasaan, selain memanfaatkan zaman mudanya dengan mempersiapkan diri demi masa hadapan,“ katanya.
Keluarga pangkalan utama
Menyambung hujah, Fauzi menjelaskan, pangkalan utama bagi setiap individu ialah keluarga. Andai pincang asuhan dan didikan, maka ia akan membuka pintu kepada keburukan dan lenyaplah uswah (teladan) yang baik.
Ketika itu, ujar beliau, tiada lagi penilaian kendiri dalam keluarga yang mana penghargaan dan denda dikenakan ke atas kebaikan serta kesilapan dilakukan oleh anggota famili berkenaan terutama anak-anak.
“Selain itu, teknologi baharu yang tidak digunakan sebaiknya akan memberi pengaruh, ditambah pula unsur kebendaan luaran yang tidak membina dan terdedah dengan elemen negatif.
“Menambah lagi kepincangan itu andai hanya pendidikan akademik sahaja yang diberikan tumpuan, sementelah aspek kerohanian pula diabaikan,“ katanya.
Bagi menanganinya, usaha semua pihak diperlukan dalam memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak.
Benarkah generasi muda menjadi kurang beradab kerana dosa ibu bapa?Agamawan itu lantas menafikannya dengan tegas.
Ujar beliau, tiada sebarang nas dalam Islam yang menunjukkan dosa ibu bapa penyebab anak-anaknya menjadi tidak baik.
“Sebaliknya paling penting, orang tua harus melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga. Kekurangan bimbingan daripada ibu bapa akan memberi pengaruh terhadap anak-anak.
“Mengertilah, sebarang ketidaksempurnaan kepada anak-anak sebenarnya adalah cabaran yang perlu dihadapi dengan baik oleh kedua ibu bapa dan keluarga,“ ungkapnya.
Kepada satu soalan, pakar ilmu hadis itu menjawab: “Dalam al-Quran, ALLAH SWT jelas mengingatkan kita supaya memelihara diri dan keluarga ke arah kebaikan. Bahkan, ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak.
“Rasulullah SAW pula memerintahkan supaya kita menyuruh anak-anak untuk menunaikan solat sejak kecil lagi. Ingatlah, mereka adalah amanah ALLAH kepada kita untuk diasuh menjadi baik. Bahkan, orang tua yang sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik tidak akan menanggung dosa atas kegagalan anak-anak mereka.“
Pembimbing
Dalam pada itu, Fauzi turut menyeru generasi muda untuk memilih perkara yang bermanfaat demi generasi masa hadapan.
Jelas beliau, mereka mempunyai pilihan iaitu menjadi ulama pembimbing umat mahupun pemimpin membina negara ataupun profesional yang menjadi tulang belakang kepada ummah dan tanah kelahirannya.
“Al-Quran telah menonjolkan satu watak bijaksana yang berpesan kepada anaknya iaitu Lukman al-Hakim. Suka saya memetik pesanan beliau yang menyentuh perihal menjernihkan akidah dengan mengesakan ALLAH dan menjauhi syirik.
“Di samping itu, berilah layanan yang baik terhadap ibu bapa dan berbakti kepada mereka. Gerunlah dengan ALLAH dan rasakan diri tidak terlepas daripada pengawasan-NYA serta sentiasa menjaga solat, amar makruf nahi mungkar, pertahankan jati diti, hindari sifat sombong dan meremehkan orang lain,“ titipnya sambil mengingatkan agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dan berpegang dengan cahaya al-Quran serta petunjuk Nabawi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!