[VIDEO] 'Ramai tak percaya nama saya Baby Girl hingga terpaksa tunjuk IC'

A
A
A

KOTA KINABALU - Ramai yang tidak percaya namanya menyebabkan seorang peniaga, Baby Girl Ariffin, 37, terpaksa mengeluarkan kad pengenalan untuk mengesahkan namanya.

Bagaimanapun, menurut Baby Girl, dia sudah terbiasa dengan situasi itu dan menganggap ia bukan perkara remeh sebaliknya dapat membantu pihak berkaitan mempermudahkan urusannya.

"Sebenarnya nama itu ibu saudara saya yang berikan. Tetapi dari kecil lagi saya sudah biasa dengan nama panggilan Baby Girl walaupun kesemua adik beradik mempunyai nama yang normal.

"Tetapi sejak kecil saya tidak pernah mengalami kesukaran disebabkan nama ini. Cuma ada yang terkejut dengannya lalu saya mengeluarkan kad pengenalan untuk memberi pengesahan ejaan yang tertera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Ramai yang tidak percaya namanya menyebabkan seorang peniaga, Baby Girl Ariffin, 37, terpaksa mengeluarkan kad pengenalan untuk mengesahkan namanya.
Ramai yang tidak percaya namanya menyebabkan seorang peniaga, Baby Girl Ariffin, 37, terpaksa mengeluarkan kad pengenalan untuk mengesahkan namanya.

Sementara itu ditanya mengenai program yang disertai baru-baru ini sehingga mencetuskan fenomena tular terhadap namanya, Baby Girl menjelaskan bahawa ketika itu dia menyertai program keusahawanan untuk menambah ilmu perniagaan.

"Ketika ini, saya cuma berniaga kecil-kecilan menjual makanan dan minuman di sekitar Telipok dan pasar malam.

Artikel Berkaitan:

"Antara jualan saya ialah pelbagai jenis kuih-muih dan juga nasi lemak serta mi goreng. Jadi sebagai peniaga yang baru empat tahun bertapak, saya mahu mencari ilmu-ilmu keusahawanan lalu menyertai program yang dikendalikan Puan Nina Othman," katanya.

Sehubungan itu, Baby Girl berharap dengan ilmu yang dikongsikan dapatlah dia memperluaskan perniagaannya termasuk dengan kaedah jualan secara dalam talian ketika ini yang menjadi pilihan pelanggan.

"Malah dengan keunikan nama saya mungkin akan membuka lebih banyak peluang rezeki," katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial menerusi akaun Facebook Nina Othman mengenai nama Baby Girl yang disifatkan unik ketika hadir pada program yang dikendalinya.

Hantaran itu mendapat 1,900 perkongsian dan 90 komen daripada warganet yang rata-rata memberi pujian selain menjelaskan bahawa di Sabah memang terdapat banyak nama yang unik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!