Peguam syarie tidak perlu lalui ujian, temu duga di Perak
IPOH - Peguam syarie yang memiliki sijil amalan guaman syarie di negeri lain diterima untuk beramal di negeri Perak tanpa lagi perlu melalui ujian dan temu duga.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Jawatankuasa Penerimaan Peguam Syarie telah memperakukan tatacara penerimaan peguam syarie menurut Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.
Menurut baginda, berdasarkan Kaedah-kaedah Peguam Syarie Perak (2003) mensyaratkan seseorang yang berhasrat menjadi pengamal peguam syarie di negeri Perak perlu menjalani peperiksaan atau temu duga yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Penerimaan Peguam Syarie selain memiliki kelayakan akademik yang diiktiraf.
"Menyahut titah nasihat beta, bermula 18 Oktober 2023, Jawatankuasa berkenaan telah memperakukan tatacara penerimaan peguam syarie menurut Seksyen 69 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004, yang membolehkan mana-mana orang yang berkelayakan yang telah memiliki sijil amalan guaman syarie di mana-mana negeri diterima untuk beramal di negeri Perak tanpa lagi perlu melalui ujian dan temu duga.
"Kini, mereka hanya perlu mengemukakan permohonan kepada jawatankuasa berkaitan untuk diperakukan boleh beramal sebagai peguam syarie di negeri Perak," titah baginda.
Baginda bertitah sempena Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan Anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Titah Sultan Nazrin, langkah tersebut akan memudahkan hasrat para peguam syarie yang mahu melakukan amalan guaman di negeri Perak selain memberikan manfaat kepada anak guaman untuk mempunyai pilihan mendapatkan khidmat guaman syarie lebih luas.
Pada majlis berkenaan,baginda turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan seramai lapan Hakim Mahkamah Syariah Perak iaitu seorang Hakim Mahkamah Rayuan Utama Syariah dan tujuh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah.
Watikah pelantikan itu juga turut mengukir sejarah baharu di Perak dengan pelantikan seorang hakim wanita di peringkat Mahkamah Rayuan Syariah iaitu Nor Hadina Ahmad Zabidi.
Dalam perkembangan lain, baginda turut menyarankan masjid di Perak menganjurkan pertandingan atau latihan berkaitan sukan elektronik (e-Sukan) dalam kalangan belia di dalam kariah masing-masing.
Titah baginda, cadangan tersebut diperkenan setelah diangkat oleh wakil belia pada persidangan Majlis Perundingan Masjid Negeri Perak pada 25 November lalu apabila e-Sukan tersebut menjadi tren dalam kalangan generasi muda selain diterima sebagai salah satu sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa.
Baginda turut mengambil contoh bagaimana atlet Malaysia Dr Yew Weng Keng, 29, yang merupakan seorang pemegang ijazah Doktor Falsafah dan penolong profesor di Universiti Heriot Watt, telah memenangi pingat emas sulung untuk Malaysia ketika Sukan SEA Manila 2019 manakala pemenang pingat gangsa acara Mobile Legends wanita di Sukan SEA Phnom Penh 2023, Sharifah Alia Husna Syed Fakrurrozi, ialah seorang hafizah 30 juzuk al-Quran ketika berusia 14 tahun.
"Ibu bapa dan pendidik hendaklah berperanan sebagai pemudah cara dan pengimbang, memberikan bimbingan kepada anak muda untuk menguasai kemahiran e-Sukan tetapi jangan sampai melupakan tanggungjawab terhadap pelajaran, penjagaan kesihatan juga tuntutan fardu ain dan fardu kifayah.
"Amatlah bertepatan agar usul yang disuarakan oleh wakil belia itu, diberikan perhatian sewajarnya dan masjid mengambil daya usaha menganjurkan pertandingan-pertandingan atau latihan-latihan, daripada dibiarkan anak muda berkelana bersendirian mengembara alam e-sukan, tanpa batas, tanpa panduan," titah baginda.
Justeru itu, Sultan Nazrin bertitah, ibu bapa dan masyarakat seharusnya melihat e-Sukan secara positif kerana permainan elektronik boleh meningkatkan pemikiran serta pemikiran strategik dan kritikal.
Sementara itu, baginda turut berkenan melantik Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Nor Azah Ahmad dan Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Puhaz Saleh sebagai anggota MAIPk.
Titah baginda, melalui pelantikan tersebut diharap pelbagai langkah inovasi yang berupaya menarik minat dan meningkatkan penyertaan lebih ramai belia dalam program keagamaan dapat diperkenalkan, sekali gus meningkatkan jumlah kehadiran belia mengimarahkan masjid.
Dalam masa sama, baginda turut berharap program kreatif dapat menarik minat belia terutama di luar bandar termasuk dalam kawasan Felda dan Felcra diperkenalkan sebagai usaha preventif yang dapat melindungi belia daripada terjerumus dalam aktiviti tidak sihat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!