Benar warga asing beli minyak masak subsidi tidak adil kepada rakyat
KUANTAN - Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berhubung tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi mengundang rasa kecewa dalam kalangan rakyat negara ini.
Aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, kenyataan itu menggambarkan menteri daripada Kerajaan Madani tidak peka memandangkan barangan bersubsidi hanya layak dinikmati rakyat Malaysia.
Dakwanya, tindakan itu seolah-olah cuba membela warga asing untuk turut sama mendapat manfaat daripada subsidi yang diberikan kerajaan.
"Saya tidak tahu kenapa seorang menteri sanggup keluarkan kenyataan yang begitu mengecewakan atau dalam erti kata lain meruntun jiwa kita sebagai rakyat.
"Kita tahu selama ini warga asing tidak boleh membeli minyak masak bersubsidi. Tapi, bagaimana menteri boleh keluarkan pandangan sebegini. Kita bermati-matian untuk pertahankan hak dan subsidi barang hanya untuk warganegara sahaja," katanya pada Jumaat.
Pada Selasa, kerajaan menjelaskan tiada sekatan atau larangan kepada warga asing untuk membeli minyak masak peket di kedai runcit, sebaliknya mereka turut tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.
Armizan berkata, warga asing masih dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi, namun menerima cadangan supaya larangan tersebut dikenakan.
"Setakat ini di peringkat runcit memang tidak ada larangan, cuma di pasar raya kita sudah sebut untuk setiap pembelian itu kita kawal had pembelian tiga peket.
"Tetapi untuk larangan kepada warga asing itu setakat ini tidak dibuat. Ada cadangan dan syor tertentu tetapi apa mekanisme untuk kita pantau, kita larang," katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri memberitahu bekas Menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub secara jelas menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli barang bersubsidi negara ini.
Katanya, kenyataan Allahyarham Salahuddin pada 24 Jun tahun lalu menjelaskan perbuatan berkenaan (beli barang bersubsidi negara ini), merupakan satu kesalahan yang serius dan boleh didakwa mengikut undang-undang negara.
"Kalau kita lihat polisi jelas, warga asing tidak boleh membeli barangan bersubsidi dalam negara Malaysia. Perkara ini perlu diambil perhatian oleh menteri (Armizan)," katanya yang tidak bersetuju dengan tindakan Menteri KPDN itu.
Mohd Shukri berkata, tidak kira bagaimana sekalipun, kerajaan perlu mengutamakan rakyat Malaysia.
“Di manakah keistimewaan rakyat Malaysia jika had pembelian sama seperti warga asing. Ini adalah tidak adil," luahnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mewujudkan satu mekanisme yang adil dan telus agar penggunaan subsidi menjadi lebih wajar dan adil.
"Kerajaan juga digesa untuk mengambil langkah memperkasakan pendidikan dan penyebaran maklumat mengenai asal-usul dan tujuan subsidi, agar masyarakat lebih memahami maksud dan penggunaan subsidi yang diperuntukkan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!