Jadikan 2020 tahun perkukuhkan semula perpaduan rakyat
BUTTERWORTH - Rakyat harus mengambil peluang menjadikan 2020 sebagai tahun mengeratkan serta memperkukuhkan semula hubungan perpaduan antara kaum di negara ini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya berkata, pemerhatian mendapati rakyat berhadapan dengan cabaran sukar pada tahun 2019 susulan daripada pelbagai isu yang dimainkan pelbagai pihak yang menyentuh sensitiviti dan meresahkan rakyat pelbagai kaum.
“Saya fikir, tahun 2019 merupakan tahun yang mencabar bagi semua rakyat apabila banyak isu membabitkan sensitiviti rakyat dimainkan dan sebarkan melalui media-media soal seperti penghinaan ke atas institusi raja, sentimen perkauman, polemik kedudukan Bahasa Melayu dan tulisan Jawi.
“Gunakan peluang dan masa yang ada ini untuk betulkan semula keadaan dan saling hormat-menghormati di antara satu sama lain tidak mengira kaum dan agama atas nama perpaduan. Inilah masa untuk kita perbetulkannya,” katanya.
Dalam masa sama, Abu Bakar yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta rakyat supaya lebih bertanggungjawab serta berhati-hati dalam menggunakan media sosial bagi menyatakan sebarang pendapat atau pendirian berkaitan dengan isu-isu sensitif.
“Kadangkala kita marah atau tidak bersetuju dengan sesuatu perkara kita terus sahaja pandangan kita itu dalam media sosial tanpa memikirkan kesan dan akibat yang bakal timbul.
“Mungkin tindakan tersebut mengundang kemarahan kepada sebilangan besar pengguna media sosial yang lain yang terdiri daripada kumpulan, kaum atau penganut agama tertentu dan mungkin juga menyalahi undang-undang negara.
“Jadi sebelum melakukan apa-apa perkara, berfikirkan dengan bijak dan matang,” ujarnya.
Terdahulu, Abu Bakar menyampaikan sumbangan bantuan kelengkapan sekolah kepada 60 pelajar miskin sempena Program Kembali Ke Sekolah dan Bantuan Asnaf di Bagan Dalam dan sumbangan kepada 30 pelajar miskin di Sungai Dua, di sini baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!