Tujuh rumah hangus dijilat api
KOTA BHARU - Lapan keluarga kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan tujuh buah rumah di Kampung Sireh di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba, Zukeri Shafie berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.11 pagi sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
Kata beliau, ketika pasukan bomba tiba, 40 peratus kawasan rumah yang sesak itu telah terbakar.
“Seramai 40 anggota bomba dari BBP Kota Bharu, Darul Naim, Tunjong dan Pengkalan Chepa berusaha untuk memadamkan kebakaran.
“Keadaan cuaca panas ketika usaha memadam api dilakukan dan selesai pada jam 9.04 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sireh di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa namun sebuah kereta jenis Proton Saga dan dua motosikal termasuk sebuah jenis Yamaha RXZ milik penduduk turut musnah.
Katanya, pihak Tenaga Nasional Berhad juga hadir ke lokasi untuk mematikan arus elektrik bagi menggelak keadaan bahaya.
“Bomba menggunakan enam jentera pemadam kebakaran dan satu lori tangki air.
“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan Forensik Bomba,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!