Kerjasama KSM, KDN berupaya hapus sistem 'orang tengah'
KUALA LUMPUR - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) yakin kolaborasi antara Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mampu menghapuskan sistem orang tengah atau ejen pekerja asing.
Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, langkah tersebut boleh direalisasikan melalui pemerkasaan jabatan-jabatan di bawah kedua-dua kementerian terlibat seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menerusi bantuan sistem teknologi terkini.
Beliau yang juga Pengasas Yayasan Prihatin Bekas 69 Komando berkata, KSM melalui JTK seharusnya membuat saringan ke atas syarikat yang menggunakan pekerja asing di semua sektor industri.
"Hukuman berat juga perlu dikenakan dengan menyenarai hitam semua pemilik atau pengarah syarikat yang menyalah guna kelulusan permit pekerja asing, selain turut dikenakan hukuman lebih berat seperti penjara.
"Kerajaan juga disarankan agar mengadakan task force untuk menangkap semua ejen-ejen dan kartel yang terlibat dalam urus niaga seumpama ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Halim berkata, lesen syarikat atau ejen yang bertindak melindungi pekerja asing tanpa permit perlu ditamatkan sekiranya didapati melakukan perkara tersebut.
Tegas beliau, syarikat yang terlibat melindungi kumpulan pekerja asing tersebut perlu dibatalkan lesen kerana menyalah guna fungsi dan bidang perniagaan.
Tambah beliau, syarat untuk membawa masuk pekerja asing perlu diperketatkan dan satu garis panduan perlu diwujudkan.
Malah lebih parah jelasnya, tindakan melindungi pekerja asing tanpa dokumen mampu menyumbang kepada risiko atau bahaya besar terhadap keselamatan negara.
"Pemeriksaan lebih kerap perlu dilaksanakan oleh pihak JTK terhadap semua agensi pekerja asing dengan bersungguh-sungguh dan bukannya bersekongkol dengan pihak agensi yang tidak bertanggunjawab.
"Agensi terlibat yang sering melindungi pekerja warga asing ini sebenarnya adalah 'scammer pekerja asing' dan memperdayakan kumpulan pekerja dari luar negara," ujarnya.
Dalam pada itu, Halim mencadangkan agar kerajaan mengambil langkah drastik dengan melaksanakan satu 'program pulang lebaran warga perantau' kepada semua warga asing yang berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI).
Jelas beliau, ia sebagai peluang terakhir buat kumpulan PATI kembali ke negara masing-masing sempena ketibaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
"Perkara ini penting untuk mengelakkan bebanan kos di depoh tahanan sebaik berakhirnya program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang diumumkan oleh kerajaan pada Khamis," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!