Ikan laga hangus dalam kebakaran, pengusaha rugi lebih RM10,000
KOTA BHARU - Seorang pengusaha ikan laga kerugian lebih RM10,000 apabila hampir keseluruhan ikannya mati dalam kebakaran melibatkan tujuh rumah di Kampung Sireh di sini, pada Jumaat.
Zarizi Dollah, 43, berkata, ketika kejadian jam 8 pagi tersebut, dia sedang tidur sebelum dikejutkan oleh kakaknya memberitahu rumah jiran mereka terbakar.
Zarizi berkata, dalam keadaan cemas, kesemua mereka terdiri daripada 11 sekeluarga segera menyelamatkan diri kerana rumah mereka terlalu rapat antara satu sama lain.
“Seorang abang saya yang terlantar kerana strok dibantu oleh anak sulung dengan mengangkatnya menggunakan kerusi roda untuk dibawa keluar.
“Saya juga turut keluar dan tidak sempat untuk mengalihkan ribuan benih ikan laga yang berada di dalam tujuh bekas polistirena di aras bawah rumah hingga semuanya hangus terbakar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Jumaat.
Ujar lelaki itu, tambah menyedihkan apabila sebahagian lagi ikan-ikan tersebut yang dipamerkan di bahagian luar rumah turut mati akibat kepanasan.
Katanya, ikan-ikan yang mati itu termasuklah induk yang berharga sekitar RM600 hingga lebih RM1,000 seekor.
“Saya menjual ikan ini secara dalam talian dan ada yang sudah ditempah pelanggan.
“Mujurlah tinggal dua ekor yang sudah ditempah oleh pelanggan itu masih hidup, tetapi bekas-bekas dan botol plastik yang digunakan untuk meletakkan ikan ini semuanya cair,” katanya.
Menurut lelaki itu, dia kini buntu memikirkan bagaimana untuk memulakan semula perniagaan yang sudah diusahakan bermula tahun 2018 itu.
“Saya baru sahaja meletakkan lima pasang induk untuk menghasilkan telur-telur tetapi turut mati terbakar.
“Apa-apa pun saya tetap reda dengan ujian ini dan bersyukur kami sekeluarga terselamat daripada kebakaran ini walaupun mengalami kerugian lebih RM10,000 kerana ikan-ikan yang mati,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!