Jin Wei dicabar 'hentak' kelompok 10 pemain terbaik dunia
BERGELAR sebagai pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Goh Jin Wei berada pada landasan terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula Julai depan.
Pemain berusia 23 tahun itu dijangka menjadi wakil tunggal negara untuk menggalas cabaran perseorangan wanita susulan K. Letshanaa masih jauh berada di belakang dalam ranking kelayakan ke Olimpik kerana ketika ini menghuni ranking ke-55 dunia.
Justeru jurulatihnya, Nova Armada berharap anak didiknya itu sekurang-kurangnya mampu mencabar pemain lain dan bukan sekadar pergi 'makan angin' ke temasya berprestij tersebut yang berbaki 195 hari lagi.
Beliau turut mencabar Jin Wei yang menghuni ranking ke-31 dunia untuk melakar kejutan ke atas pemain dalam kelompok 10 terbaik sepanjang saingan kelayakan Olimpik yang dijadual berakhir penghujung April depan.
"Laluan ke Olimpik boleh dikatakan selamat tetapi masih banyak lagi yang perlu diberikan perhatian dan diperbaiki, terutama corak permainan serta stamina. Dia juga harus kalahkan para pemain dalam ranking 10 terbaik dunia.
"Saya mahu dia buat kejutan dengan menewaskan pemain-pemain terbaik sebelum saingan kelayakan Olimpik berakhir. Kita tidak mahu layak ke Olimpik sekadar pergi sahaja, itu bukan tujuannya," ujar Nova.
Sebagai rekod, setiap negara hanya boleh menghantar seorang pemain dalam setiap acara perseorangan lelaki dan wanita ke Sukan Olimpik sekiranya tidak berada dalam kelompok 16 terbaik ranking kelayakan.
Dalam pada itu, Nova percaya Jin Wei sudah menunjukkan peningkatan daripada segi permainan dan kecergasan biarpun kalah 15-21, 22-24 kepada pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung dalam saingan pusingan kedua Terbuka Malaysia pada Khamis.
"Saya berpuas hati dengan prestasi Jin Wei kerana sudah banyak meningkat daripada segi stamina dan semangat juang. Jika kita dapat heret ke aksi penentuan, saya fikir kita boleh menang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!