Tiada arahan penutupan Uniten Muadzam Shah diterima KPT

Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang
Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jumaat mengesahkan tidak ada usaha atau arahan untuk menutup Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (KSHAS) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang sepertimana digembar-gemburkan baru-baru ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang pemakluman mengenai arahan penutupan kampus itu.

"Tidak ada, tidak sampai berita itu kepada saya walaupun saya dengar-dengar daripada luar tetapi saya nak maklumkan, tidak ada arahan secara terus ataupun disampaikan secara tidak langsung kepada pengetahuan saya.

"Saya kata berdasarkan daripada maklumat yang telah saya semak dengan pegawai-pegawai kanan saya, mereka maklumkan tidak ada apa dimaklumkan kepada mereka seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan penutupan institusi pengajian tinggi itu selepas menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Universiti Malaya di sini pada Jumaat.

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir

Zambry berkata, semakan dengan Ketua Pengarah (Pendidikan Tinggi) semalam juga mengesahkan bahawa tidak ada usaha menutup kampus Uniten itu.

Kerajaan negeri Pahang sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan penutupan Uniten KSHAS kerana langkah itu akan memberi implikasi tidak baik kepada kelangsungan pengajian anak-anak muda dan peluang perniagaan serta pembangunan ekonomi penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dipetik sebagai berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri membuat keputusan sebulat suara mengenai perkara itu dalam mesyuaratnya pada Rabu lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!