SUV rosak hanya selepas dua minggu dipakai
SHAH ALAM - Seorang pengguna media sosial, Facebook, Noriya Mamat mendakwa kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V yang dibeli pada Ogos tahun lalu rosak selepas hanya dua minggu digunakan.
Menerusi hantaran berkenaan, Noriya berkata, kenderaan tersebut mengalami masalah selepas menghantarnya ke Pusat Servis Gong Badak, Terengganu pada 2 September lalu untuk servis 1,000 kilometer (km).
Menurutnya, keadaan lebih memilukan apabila Pusat Servis Honda itu memberikan alasan bahawa mereka tidak dapat mengesan punca masalah berkenaan.
“SUV dihantar sebelah pagi dan sebelah petang sudah boleh digunakan seperti biasa. Selepas dua hari keluar dari pusat servis, kenderaan alami beberapa kerosakan.
“Pertama, controller lampu depan tidak boleh dilaras. Kedua, lampu penunjuk pada dashboard berkelip-kelip dan ketiga, lampu kecemasan menyala,” kongsi wanita itu pada Khamis.
Susulan itu, Noriya bertindak untuk menghantar semula SUV itu ke pusat servis selama seminggu.
Bagaimanapun, dia berkata, masalah bersama berulang kembali dan terpaksa menghantar sekali lagi SUV itu untuk diservis.
“Saya terpaksa berulang-alik ke pusat servis dalam keadaan saya sarat mengandung pada ketika itu,” ujar Noriya.
Noriya berkata, pada Disember tahun lalu, dia telah menghubungi pusat servis, namun alasan sama diberikan dan turut menyatakan pegawai teknikal dari ibu pejabat Honda akan datang ke Terengganu untuk melihat masalah kenderaan itu.
Pada 10 Januari lalu, ibu pejabat Honda telah menghubungi Noriya dan memaklumkan bahawa masalah SUV itu tidak dapat diselesaikan.
“Setelah empat bulan berada di pusat servis, kali ini mereka maklumkan bahawa kenderaan akan dibawa ke Honda HQ Kuala Lumpur untuk dipantau lebih lanjut dan tempoh sebulan mencari penyelesaian.
“Berapa lama lagi saya perlu menunggu? Setiap bulan saya perlu membayar RM1,500 untuk SUV yang tidak saya gunakan.
“Mengapa pihak Honda mengambil masa yang lama untuk kes seperti ini. Di mana khidmat lepas jualan yang terbaik seperti dijanjikan Honda?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!