Konsep Payung Rahmah diperluas dengan penyertaan swasta, industri
PUTRAJAYA - Konsep Payung Rahmah diperluaskan dengan pengenalan inisiatif Ihsan Rahmah melibatkan penyertaan pihak swasta dan industri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata, melalui inisiatif berkenaan, pihak swasta dan industri boleh memperkenalkan sebarang program berbentuk ihsan kepada komuniti serta pekerja seperti pemberian diskaun, rebat dan pulangan tunai.
Menurutnya, kerajaan bersetuju Konsep Payung Rahmah pada 2024 bukan hanya di peringkat kerajaan sahaja, tetapi juga dibuka ruang kepada pihak swasta dan industri untuk memperkenalkan program sendiri dengan berpandukan garis panduan pelaksanaan Konsep Payung Rahmah.
"Ia merupakan permintaan daripada pihak swasta dan industri yang berminat untuk perkenal inisiatif berbentuk ihsan kepada masyarakat dan kakitangan mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini pada Jumaat.
Armizan berkata, penyertaan pihak swasta dan industri itu berupaya memastikan agenda kerajaan dalam menangani cabaran kos sara hidup dapat memanfaatkan seluruh rakyat negara ini.
"Untuk tahun ini, peruntukan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan program Payung Rahmah, tetapi untuk mencakupi lebih 30 juta rakyat pastinya mustahil. Sebab itu kita buka penyertaan kepada pihak swasta dan industri,” katanya.
Pada 2023, KPDN telah melaksanakan lima inisiatif di bawah Konsep Payung Rahmah iaitu Program Jualan Rahmah (PJR), Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Kafe Rahmah dan Pakej Rahmah.
Mengenai PJR yang diperkenalkan Januari tahun lepas, Armizan berkata takwim PJR dimuat naik di portal rasmi KPDN https://www.kpdn.gov.my bagi membolehkan rakyat mengetahui tarikh dan lokasi PJR lebih awal.
"Kita juga bersetuju untuk tawarkan barangan basah di PJR, anjur Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) pada musim perayaan dan memperluaskan bazar Ramadan,” katanya mengenai penambahbaikan PJR.
Sementara itu, Armizan berkata, KPDN akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pengisian penuh terhadap perjawatan sedia ada untuk penguat kuasa.
Beliau berkata, ketika ini jumlah anggota penguat kuasa KPDN sebanyak 2,200 orang di seluruh negara dan bilangan itu masih tidak mencukupi.
"Kita (KPDN) mohon JPA untuk benarkan kita buat pengisian penuh perjawatan sedia ada dalam waran. Kita bukan mohon untuk perjawatan baharu," katanya.
Armizan berkata, sudah tiba masanya bilangan anggota penguat kuasa KPDN itu ditambah berdasarkan keadaan semasa serta mengambil kira faktor skop tugasan yang semakin meluas terutama apabila subsidi bersasar dilaksanakan tahun ini.
"Bahagian Penguatkuasa KPDN ini bertanggungjawab untuk menguatkuasakan 12 akta yang ada di bawah KPDN. Ini tanggungjawab yang besar," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!