Besi naik harga

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Indeks harga seunit besi bagi kebanyakan kawasan di negara ini meningkat 0.2 peratus hingga 1.8 peratus pada Disember 2023 berbanding bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan tertinggi bagi harga seunit besi direkodkan di Perak sebanyak 1.8 peratus dan diikuti oleh Johor (1.1 peratus), Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.2 peratus).

Perbandingan bulanan mengikut bahan binaan dan kawasan terpilih menunjukkan tiada perubahan dalam indeks harga seunit bagi bahan binaan utama seperti batu baur, pasir dan papan lapis di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Indeks harga seunit keratan keluli dan logam juga kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Terdapat sedikit penurunan dalam indeks harga bahan ini bagi kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan (-0.1 peratus), Kota Kinabalu (-0.2 peratus) dan Miri (-2.0 peratus) manakala Perak dan Kuching masing-masing 0.1 peratus,” katanya dalam kenyataan Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur bagi Disember 2023 pada Jumaat.

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Uzir berkata, perbandingan bulanan pada Disember 2023 juga menunjukkan indeks seunit harga simen kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, katanya, sedikit peningkatan dalam indeks harga bahan direkodkan bagi beberapa kawasan iaitu Johor (1.6 peratus) dan diikuti Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan masing-masing 0.6 peratus.

Selain itu, perbandingan tahunan bagi Disember 2022 dan Disember 2023 menunjukkan indeks harga seunit simen mencatat peningkatan antara 2.8 peratus hingga 18.9 peratus bagi kesemua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan tertinggi indeks harga seunit simen dicatatkan oleh Terengganu dan Kelantan (18.9 peratus) dan seterusnya Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (17.4 peratus).

Indeks harga seunit besi meningkat 0.5 peratus hingga 4.6 peratus berbanding bulan sama pada 2022, namun penurunan direkodkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (-2.4 peratus), Tawau (-3.1 peratus) serta Miri (-3.0 peratus).

"Harga seunit besi seperti bar keluli lembut bulat serta bar berbunga tegangan tinggi Mycon 60 adalah RM3,629.77 satu tan metrik - meningkat sedikit iaitu 0.2 peratus berbanding bulan sebelumnya (November 2023: RM3,621.24 satu tan metrik).

"Purata harga simen (Ordinary Portland) mencatat peningkatan kecil iaitu 0.2 peratus dengan purata harga RM23 bagi setiap karung 50 kilogram berbanding November 2023 (RM22.94 bagi setiap karung 50 kilogram),” katanya.

Mohd Uzir berkata perbandingan bulanan Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB), termasuk bar keluli bagi semua kategori bangunan pada Disember 2023 pula meningkat 0.2 peratus hingga 2.4 peratus di hampir semua kawasan di Semenanjung Malaysia.

Selain itu dari perspektif global, laporan Institut Besi dan Keluli Asia Tenggara (SEAISI) pada Disember 2023 mengunjurkan harga keluli China mungkin meningkat pada 2024.

"Ini susulan jangkaan peningkatan permintaan pasaran domestik dan antarabangsa serta pertambahan kos berterusan daripada harga bahan input yang kekal tinggi,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!