Kempen 'Subuh Macam Jumaat' jamu kambing golek

Masjid Al-Muqarrabin menyediakan kambing golek bagi semarak kempen 'Subuh Macam Jumaat'.
Masjid Al-Muqarrabin menyediakan kambing golek bagi semarak kempen 'Subuh Macam Jumaat'.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masjid Al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan menyediakan jamuan tiga ekor kambing golek kepada mereka yang hadir subuh berjemaah pada Sabtu.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, inisiatif itu sempena kempen 'Subuh Macam Jumaat'.

Menurutnya, pelbagai pengisian menarik disediakan supaya amalan solat subuh berjemaah itu dapat dilaksanakan secara berterusan.

"Esok pagi misalnya, Masjid Al-Muqarrabin Bandar Tasik Selatan menyediakan jamuan tiga ekor kambing golek selepas solat subuh bagi menghangatkan lagi kempen berkenaan.

"Kuliah subuh pula akan disampaikan oleh pendakwah terkenal Ustaz Zul Ramli M Razali," kongsinya menerusi hantaran di Facebook.

Pada hantaran sama, Jawi turut berkongsi petikan hadis riwayat Muslim akan kebaikan menyertai solat subuh berjemaah.

"Daripada Uthman bin al-Affan RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seumpama dia telah solat separuh daripada malam dan sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seumpama dia telah solat sepanjang malam (Riwayat Muslim), " ujar kenyataan itu

Kempen 'Subuh Macam Jumaat' sebelum ini dicetuskan selebriti popular, Alif Satar sebagai tanda solidariti kepada penduduk Semenanjung Gaza, Palestin.

Artikel Berkaitan:

Program dimulakan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada hari pertama tahun ini dan berjaya menarik hampir 3,000 jemaah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!