Guna perkataan 'celaka' dalam lirik lagu, Hael minta dengar dari sudut positif

Hael Husaini menghiburkan peminat yang hadir ke Album release party sempena pelancaran album Antonim (part I) di The Bee, Publika pada Selasa. - Astro Awani
Hael Husaini menghiburkan peminat yang hadir ke Album release party sempena pelancaran album Antonim (part I) di The Bee, Publika pada Selasa. - Astro Awani
A
A
A

TURUN naik sebagai anak seni selama 17 tahun membuahkan hasil apabila penyanyi, Hael Husaini berjaya berkongsi karya terbaharu melalui penerbitan album Antonim (Part I).

Mahu lari dari kebiasaan, lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut seperti Kejora, Usia, Hero dan Diam membawa satu sisi lain Hael sebagai seorang penghibur.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah apabila salah satu lagunya iaitu Diam mempunyai perkataan 'celaka' yang dilihat kasar bagi sesetengah pendengar.

Tapi mengapa? Apa justifikasi Hael untuk menggunakan perkataan tersebut?

Barisan komposer yang menjayakan album Anatonim (part I). Foto Astro Awani
Barisan komposer yang menjayakan album Anatonim (part I). Foto Astro Awani

Menurut pelantun lagu Kelentang Kelentong itu, sebagai seseorang penyanyi dan komposer dia semestinya memikirkan sensitiviti rakyat Malaysia namun baginya perkataan tersebut disalah gunakan oleh masyarakat kita sehingga ia didengar sedikit kasar.

“Kalau nak ikutkan saya memang mengkaji lagu itu apabila saya nak melakukan sesuatu terutamanya nak menjaga sensitiviti, kita tahu orang Malaysia.. Saya pun dah lama produce jadi saya tahu batas-batas saya,

“Tapi kalau nak ikutkan perkataan 'celaka' sebenarnya disalah gunakan sedikit dalam kehidupan harian kita.

"Kalau nak ikutkan kecelakaan atau maksud celaka itu sama dengan malang, namun saya minta maaf jika perkataan itu kedengaran kasar.

Artikel Berkaitan:

‘“Cuma saya minta kita dengar dari sudut yang positif bahawa celaka itu bukan kata yang kesat, kita kena ubah mentaliti kita untuk penggunaan perkataan tersebut,” ujar Hael kepada media selepas acara pelancaran album pada Selasa.

Definisi celaka daripada Dewan Bahasa dan Pustaka
Definisi celaka daripada Dewan Bahasa dan Pustaka

Hael atau Muhammad Hael Husaini Razmi,36, juga memberitahu bahawa Antonim (Part ll) akan dilancarkan dalam masa terdekat namun dia mahu memfokuskan promosi album Antonim (Part l) terlebih dahulu.

Pada masa sama, Hael juga menyatakan bahawa dia dan pihak pengurusan dalam perancangan untuk mengadakan konsert solonya tidak lama lagi.

Antonim (Part I) mendapat sentuhan barisan komposer ternama seperti Omar K, Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Ezra Kong.

Peminat boleh mendengar album Antonim (Part l) melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, Apple Music, YouTube Music dan Spotify. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!