Qatar langkah kanan dalam misi pertahan kejuaraan Piala Asia

Pemain Qatar Akram Afif ketika meraikan jaringan gol pada perlawanan pembukaan di antara Qatar menentang Lubnan pada Piala Asia 2023 di Stadium Lusail. Foto Bernama
Pemain Qatar Akram Afif ketika meraikan jaringan gol pada perlawanan pembukaan di antara Qatar menentang Lubnan pada Piala Asia 2023 di Stadium Lusail. Foto Bernama
A
A
A

TUAN rumah Qatar bermula cemerlang dalam misi mempertahankan kejuaraan mereka, selepas menundukkan Lubnan 3-0 pada perlawanan pertama Kumpulan A yang juga merupakan aksi pembukaan Piala Asia 2023 di Stadium Lusail di sini, malam ini.

Penyerang kelab, Al Sadd Akram Afif mencuri tumpuan dengan dua gol menarik, sementara pemenang Kasut Emas Piala Asia 2019 Almoez Ali, turut tidak terlepas daripada mencetak nama sebagai penjaring untuk memberikan permulaan sempurna buat skuad The Maroons.

Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, Qatar yang menghuni ranking ke-58 dunia itu bermula garang, apabila Ali berjaya meletakkan bola di gawang, namun jaringannya pada minit kelima itu dibatalkan disebabkan ofsaid.

Namun, kebuntuan mencipta gerakan efektif menghantui skuad bimbingan Marquez Lopez selepas itu, sementara Lubnan mula menemui rentak dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan termasuk rembatan deras kapten Hassan Maatouk, yang diselamatkan penjaga gol Mostafa Matar pada minit ke-21.

Pemain Qatar Hasan Al Haydos (depan, kiri) diasak pertahanan Lubnan pada perlawanan pembukaan di antara Qatar menentang Lubnan pada Piala Asia 2023 di Stadium Lusail. Foto Bernama
Pemain Qatar Hasan Al Haydos (depan, kiri) diasak pertahanan Lubnan pada perlawanan pembukaan di antara Qatar menentang Lubnan pada Piala Asia 2023 di Stadium Lusail. Foto Bernama

Qatar yang kembali menemui rentak hampir meledak gol pertama, namun tandukan Afif yang menerima hantaran cantik Yusuf Abdurisag dari sebelah kanan, hanya menggegar palang pada minit ke-31.

Afif akhirnya berjaya membantu Qatar memecah kebuntuan pada minit ke-45, apabila merembat bola umpanan Ali dalam kotak penalti sekali gus menjadi gol pertama edisi 2023 pertandingan bola sepak terulung Asia itu.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah terus mendominasi permainan sehingga Ali menggandakan kedudukan pada minit ke-56, apabila menanduk bola hantaran kapten Hasan Al Haydos sekali gus mengubati kekecewaan jaringan yang dibatalkan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Ketika permainan seolah-olah berkesudahan 2-0, Afif sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah apabila mengesahkan kemenangan pasukan menerusi gol ketiga pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Qatar yang dibimbing pengendali Sepanyol Marquez Lopez akan bertemu Tajikistan pada 17 Januari dan menutup saingan Kumpulan A berdepan China pada 22 Januari. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!