Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati minggu depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu depan kerana pelabur menunggu pengumuman data ekonomi yang dijadualkan dikeluarkan oleh beberapa negara maju.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, minggu depan, tumpuan akan diberikan kepada angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023 China yang akan dikeluarkan pada hari Rabu bersama-sama indeks harga pengguna (IHP) United Kingdom dan Kesatuan Eropah..

“Memandangkan data IHP Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi daripada jangkaan baru-baru ini, pasaran akan menilai semula kedudukan mereka sama ada penurunan kadar faedah boleh berlaku seawal bulan Mac,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, konflik ketenteraan yang berlanjutan di Laut Merah dan Yaman boleh mengakibatkan harga minyak mentah lebih tinggi, ia mungkin memberi kesan kepada inflasi.

“Konflik berterusan yang berlaku di Laut Merah telah mengakibatkan kemerosotan trafik sebanyak 20 peratus tahun ke tahun kerana kebanyakan kapal perlu beralih ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan dalam usaha untuk mengelak kawasan berkonflik.

“Usaha sebegitu sudah tentu akan melibatkan kos tinggi dan memakan masa yang pada asasnya akan memberi tekanan terhadap kos menjalankan perniagaan,” katanya.

Kesimpulannya, Mohd Afzanizam berkata, ia bergantung kepada Rizab Persekutuan (Fed) AS, sama ada ia akan melonggarkan dasar monetarinya lebih awal atau mahu mengambil kira perkembangan semasa mengenai inflasi.

“Sukar untuk dijangka kerana kedudukan pasaran tidak menentu. Sehubungan itu, kami menjangkakan mata wang USD/MYR akan merosot sekitar 4.63 hingga 4.65 minggu depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan itu didagangkan lebih tinggi kerana kebimbangan terhadap data IHP AS telah menyebabkan sesetengah pelabur beralih kepada mata wang baharu muncul.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, ringgit lebih tinggi berbanding dolar US pada 4.6455/6500 daripada 4.6525/6580 sebelumnya.

Ia diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2007/2040 daripada 3.2038/2078 seminggu sebelumnya tetapi merosot berbanding pound Britain kepada 5.9239/9297 daripada 5.8891/8961, dan turun berbanding euro kepada 5.0924/0973 daripada 5.0763/0823 sebelumnya.

Bagaimanpun, ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4900/4936 daripada 3.4944/4988 seminggu lepas dan melonjak berbanding baht Thai kepada 13.2464/2664 daripada 13.4001/4236 sebelumnya.

Ringgit tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 298.6/299.1 daripada 299.8/300.3 seminggu lepas dan meningkat berbanding peso FIlipina kepada 8.30/8.32 daripada 8.37/8.38 ketika ditutup minggu lepas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!