10 pengemis warga asing termasuk kanak-kanak ditahan
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen menahan 10 warga asing termasuk empat kanak-kanak yang mengemis di pekarangan sebuah masjid di Bangsar di sini, tengah hari semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan pada Sabtu berkata, 13 individu diperiksa dalam operasi bermula pada 12.15 tengah hari itu susulan aduan orang ramai berhubung kegiatan mengemis dalam kalangan warga asing yang sering berlaku di kawasan terbabit.
“10 pengemis warga asing berusia dua hingga 41 tahun ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Tiga lagi individu yang ditahan dibebaskan kerana merupakan warga tempatan,” katanya.
Ruslin berkata, warga asing yang ditahan itu terdiri daripada tiga warga Indonesia dan tujuh warga Myanmar termasuk empat kanak-kanak.
Beliau berkata, semua warga asing itu ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!