Selangor sasar nilai pelaburan RM50 bilion tahun ini
SUBANG JAYA - Selangor menyasarkan nilai pelaburan sebanyak RM50 bilion tahun ini dengan peningkatan sebanyak RM5 bilion berbanding tahun lalu
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, angka tersebut mampu dicapai susulan lokasi Selangor yang strategik berserta kemudahan infrastruktur serba lengkap bakal menjadi tarikan pelaburan luar negara.
Menurutnya, selain pelabur luar negara khususnya daripada China, terdapat beberapa potensi pelaburan lain akan dibawa masuk pada tahun ini.
"Sudah semestinya Selangor menjadi pilihan utama kerana kelebihan Pelabuhan Klang yang merupakan pelabuhan ke-12 terbesar di dunia serta dua lapangan terbang antarabangsa (Lapangan Terbang Subang dan KLIA).
"Pada masa sama terdapat tapak perindustrian yang sedang dibangunkan untuk memberi banyak pilihan kepada pelabur. Ini juga dan bakal menjadi tarikan utama kepada pelabur," katanya pada Program Penanaman Pokok: Pledge an Plant A Tree (PAPAT) di Bukit Kinrara, pada Sabtu.
Program PAPAT merupakan kerjasama antara Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dengan Malaysia Institute of Planner dan pemaju-pemaju perumahan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjadi acara tahunan sejak 2008.
Beliau berkata, tapak atau taman perindustrian yang dibangunkan membolehkan pelabur membuat pilihan lokasi bersesuaian pengoperasian.
"Kerajaan negeri sediakan pilihan buat pelabur yang terdapat tapak perindustrian berdekatan dengan Pelabuhan Klang selain KLIA atau lebuh raya.
"Dengan lokasi strategik ini, kita dapat tawarkan tapak perindustrian bersesuaian dengan sektor pelaburan sama ada perkilangan, pembuatan, gudang logistik hub dan lain-lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!