Pemilik tanah persendirian perlu selesaikan isu air bertakung - Arul
NILAI - Pemilik tanah persendirian di Jalan Mantin-Beranang dekat sini diminta agar menyelesaikan isu air bertakung yang didakwa menjadi punca jalan rosak sehingga meragut nyawa penunggang motosikal, baru-baru ini.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, masalah jalan rosak dan berlubang itu tidak berulang jika masalah air bertakung di lokasi kejadian dapat diselesaikan.
"Satu perjumpaan sudah diadakan dengan pemilik tanah di kawasan berkenaan bagi menerangkan situasi sebenar yang berlaku.
"Pada masa sama kita mohon kerjasama agar isu ini diselesaikan bagi mengelakkan berlaku lagi kejadian tidak diingini. Jadi kita harap air tidak mengalir dan melimpah ke jalan untuk jangka pendek sementara kerja menaiktaraf saliran dilakukan.
"Jika air melimpah masuk ke jalan, ia memang akan rosak. Hari ini ia memang dalam keadaan baik, jika hujan dan air bertakung serta dilalui kereta atau lori akan rosak juga," katanya pada Sabtu.
Arul Kumar yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Nilai berkata, mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan, air dari tanah persendirian tidak boleh mengalir ke longkang tepi jalan.
"Di lokasi kejadian ini terdapat dua lot tanah persendirian dengan salah satunya milik pemaju. Saya sudah berjumpa dengan pemiliknya dan meminta mereka supaya melencongkan air buat sementara waktu.
"Saya juga sudah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menaik taraf sistem perparitan di lokasi ini. Ini adalah usaha untuk jangka pendek bagi mengelakkan jalan berkenaan terus rosak.
"Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) sendiri sudah mengarahkan perkara ini diselesaikan dan saya memohon sangat kerjasama daripada pemilik tanah untuk selesaikan masalah air ini," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang penghantar makanan maut di lokasi berkenaan dipercayai akibat jalan rosak dan berlubang kira-kira jam 9.30 pagi.
Berikutan itu, Arul Kumar dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya kesal dengan pihak bertanggungjawab kerana hanya menampal jalan berkenaan berulang kali sedangkan ia perlu dibaiki sepenuhnya.
Kejadian itu juga menyebabkan bapa mangsa, Abdul Sani Md Yatim, 61, menyatakan hasrat mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!