Liga TFL kecoh, pegawai pasukan dan pemain cedera dibelasah
KUALA NERUS - Beberapa individu termasuk pegawai pasukan bola sepak cedera dalam pergaduhan yang berlaku ketika perlawanan Liga Bolasepak Terengganu (TFL) di padang sintetik Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak dekat sini petang Jumaat.
Difahamkan, pergaduhan itu tercetus sebelum perlawanan antara kelab NAG FC dan KESA FC yang berkesudahan NAG FC mendahului 4-1 pada kejohanan edisi kedua tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat di Balai Polis Gong Badak dekat sini pada jam 10.30 malam pada Jumaat.
"Berdasarkan laporan diterima, pergaduhan itu dikatakan melibatkan dua pasukan iaitu NAG FC dan KESA FC.
"Ia dikatakan berlaku disebabkan perasaan tidak berpuas hati kerana terdapat pemain yang didakwa bermain kasar menyebabkan tercetusnya pergaduhan dan rusuhan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurut Wan Mohd Zaki, beliau difahamkan terdapat mangsa yang kini dirawat di hospital dan siasatan berhubung kes itu dijalankan bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
"Kita akan siasat, panggil mereka yang terlibat dan dikenal pasti untuk ambil keterangan, "katanya.
Malam Jumaat tular video berdurasi 42 saat memaparkan insiden memalukan itu yang dikatakan berlaku kira-kira 10 minit sebelum perlawanan antara dua pasukan itu tamat.
Berdasarkan video berkenaan, insiden itu dipercayai turut melibatkan pemain dan penyokong menyebabkan terdapat beberapa individu lari untuk menyelamatkan diri.
Sementara itu, adik mangsa, Roslaini Husni, 36, berkata, abangnya yang merupakan pegawai pasukan NAG FC, Ronny Irwan, 46, kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Katanya, pada mulanya dia terkejut apabila mendapati individu yang teruk dipukul di dalam video tersebut adalah abangnya.
"Semalam abang saya dikejarkan ke jabatan kecemasan HSNZ kerana cedera pada bahagian kepala dan mata serta beberapa bahagian badan yang lain.
" Waktu tu terdapat juga beberapa pemain lain yang turut mengalami kecederaan seperti lebam dan bengkak pada bahagian mata.
"Sekarang keadaan abang stabil dan masih dirawat dan perlu berehat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!