Kakitangan PBT maut, lori sampah terbabas
KINABATANGAN - Seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) maut manakala dua lagi rakannya terselamat selepas lori sampah yang dipandu terbabas dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Kota Kinabatangan di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Mohamad Izuan Mambasang, 39, maut akibat tersepit di bahagian pemandu manakala rakannya dikenali sebagai Ahmad Din Ahmad cedera dan Muhd Saufi Ahmad, 26, selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, seramai lima anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 25 kilometer dari balai.
"Kemalangan membabitkan sebuah lori sampah milik Majlis Daerah Kinabatangan yang terbabas sendiri dan terbalik.
"Dalam kejadian itu, pemandu tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Dua lagi rakan mangsa masing-masing dilaporkan cedera dan selamat telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
"Operasi kemudian ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!