300 pekerja pembinaan tinggal sehelai sepinggang
PENAMPANG - Kira-kira 300 pekerja pembinaan tinggal sehelai sepinggang selepas lima blok rumah terbakar dalam kejadian di Jalan Penampang, Bandar Baru Penampang di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, kesemua blok masing-masing yang mempunyai 10 pintu musnah sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.52 petang.
Zeno berkata, seramai 14 anggotanya bersama sembilan anggota BBP Kota Kinabalu dikejar ke lokasi yang terletak sejauh empat kilometer dari BBP Penampang.
"Komander Operasi melaporkan kejadian melibatkan lima blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan setiap blok terdapat 10 pintu terbakar 100 peratus.
"Kesemua rumah tersebut dihuni kira-kira 300 pekerja pembinaan di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Sehubungan itu, Zeno berkata, pasukan BBP Penampang menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dengan menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran.
"Pasukan BBP Kota Kinabalu pula menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dari tangki air.
"Operasi dilaporkan terkawal pada jam 5.50 petang dan tiada mangsa dilaporkan terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!