Australia bermula sempurna di Qatar 2023
JUARA 2015, Australia meraih permulaan sempurna selepas tidak berdepan masalah menewaskan India 2-0 pada aksi pertama Kumpulan B saingan Piala Asia 2023 di Stadium Ahmed Bin Ali di Bandar Al Rayyan.
Skuad Socceroos bimbingan Graham Arnold bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua untuk menghasilkan jaringan masing-masing menerusi Jackson Irvine dan pemain gantian Jordan Bos selepas buntu mencipta gol di sebalik penguasaan penuh sejak sepak mula.
Pada pertembungan pertama kedua-dua pasukan itu sejak 2011, Australia lebih mendominasi permainan dengan melancarkan serangan berbahaya yang menyaksikan penjaga gol India Gurpreet Singh Sandhu terpaksa bekerja keras mempertahankan gawang sepanjang 45 minit pertama.
Namun, gawang India akhirnya bolos selepas bola hantaran lintang yang gagal ditumbuk kemas Gurpreet singgah ke kaki Irvine untuk pemain tengah FC St. Pauli itu tenang menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-51.
Australia menggandakan kedudukan apabila Bos yang masuk menggantikan Craig Goodwin bijak menghidu ruang dalam kotak penalti untuk memanfaatkan hantaran Riley McGree pada minit ke-73 sekali gus mengesahkan kemenangan.
Bercakap selepas perlawanan, kapten Australia, Mathew Ryan, berasa lega dengan tiga mata selepas perlawanan sengit itu.
"Perkara yang paling penting adalah memulakan pertandingan dengan kemenangan, menyertai kejohanan besar seperti ini terdapat sedikit tekanan pada keputusan pertama. Kami mahu menunjukkan persembahan positif dan ada sedikit kelemahan yang akan kami perbaiki. Tetapi perlawanan pembukaan yang baik dan akan belajar daripadanya.
"Fokus kami akan beralih kepada perlawanan dengan Syria. Kami tahu mereka pasukan yang baik, tetapi saya yakin kami akan memberikan persembahan yang lebih baik dalam perlawanan seterusnya," katanya kepada penyiar rasmi.
Dalam pada itu, perlawanan Australia menentang India menyaksikan sejarah tercipta apabila Yoshimi Yamashita dari Jepun menjadi pegawai perlawanan wanita pertama yang mengadili aksi pada pusingan akhir Piala Asia.
Australia seterusnya akan menentang Syria manakala India akan membuat perhitungan bertemu Uzbekistan dalam usaha menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati, masing-masing pada 18 Januari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!