Biz-Berkat tumpu negeri TMN2024 banteras peniaga tamak
MELAKA - Program Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-Berkat) yang bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga berkaitan kod etika dan peraturan perundangan perniagaan akan ditumpukan di empat negeri yang melaksanakan Tahun Melawat Negeri 2024 (TMN2024).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif baharu itu adalah antara usaha bagi mengekang sikap tamak peniaga yang terlibat dalam TMN2024 iaitu di Melaka, Perlis, Perak dan Kelantan, daripada tindakan menaikkan harga atau mengaut untung pada kadar tidak munasabah.
"Antara objektifnya adalah memberikan imej baik, yang bukan sahaja kepada pengunjung domestik tetapi pelancong asing supaya mereka mempunyai keyakinan malah menjadi faktor penarik untuk datang berbelanja di Malaysia memandangkan negara ini menduduki senarai ke-12 destinasi yang paling banyak dilawati tahun lepas.
"Dalam masa yang sama, kepatuhan ini penting bagi usaha melonjakkan ekonomi setempat dan merancakkan industri pelancongan di negara kita," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi tinjauan dan pemantauan penguatkuasaan di Jonker Walk, Banda Hilir di sini lewat malam tadi, yang turut dihadiri Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.
Armizan berkata, sesi Biz-Berkat juga akan dilaksanakan di semua negeri dan terpakai untuk semua bentuk perniagaan dalam usaha memastikan peniaga memahami kod etika dan perundangan perniagaan.
"Untuk itu kita akan membuat risikan dan menggunakan formula tersendiri termasuklah melalui resit-resit sebelum ini untuk mengenal pasti sebarang ketidakpatuhan yang dilakukan oleh peniaga," katanya.
Dalam pada itu katanya, penambahan penguat kuasa bagi melaksanakan sesi Biz-Berkat juga akan dilakukan di empat negeri tersebut sekiranya keadaan memerlukan dengan nasihat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
"Sebagai contoh ada tempoh-tempoh tertentu pada setiap tahun kita akan menerima banyak pelancong dari China dan sekiranya negeri TMN2024 memerlukan bantuan penguat kuasa dalam tempoh tersebut bagi sesi Biz-Berkat, kita akan hantar pasukan dari Putrajaya," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, KPDN akan melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah yang melibatkan pemain industri dan swasta pada 24 Januari depan.
"Kita rancang akan lancarkan program tersebut di sini (Melaka) sempena Tahun Melawat Melaka 2024 dan inisiatif tersebut adalah hasil maklum balas dan penambahbaikan Program Jualan Rahmah yang sedia ada, termasuklah kadar diskaun minimum adalah antara 10 dan 30 peratus bagi barangan yang ditawarkan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!