Atlet Sukma diingat berhati-hati ambil makanan tambahan

Jia Xin disahkan positif doping pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari lalu di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Jia Xin disahkan positif doping pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari lalu di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
A
A
A

IPOH - Barisan jurulatih dan atlet Sukan Malaysia (Sukma) Perak dinasihatkan melakukan kajian terperinci sebelum mengambil sebarang makanan tambahan bagi mengelak gagal ujian doping.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, mereka juga perlu mengetahui bahan yang terkandung dalam makanan tambahan diambil untuk memastikan kontinjen negeri tidak dikenakan tindakan di bawah Peraturan Anti-Doping Adamas 2021.

"Saya tegaskan sekali lagi kepada semua atlet Sukma negeri agar berhati-hati mengambil sebarang ubat-ubatan dan makanan tambahan bagi mengelak terperangkap dalam isu doping.

"Atlet juga dinasihatkan sentiasa peka, bertanggungjawab malah tidak boleh main makan saja makanan tambahan tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu melalui pakar perubatan yang dilantik Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak," katanya pada sidang media di sini Sabtu malam selepas menyaksikan Perlawanan Akhir Piala XOX 2023 antara pasukan Kinta Utara (SMK Anderson) menentang Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak (SMK Gunung Rapat) di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor.

Khairudin berkata, walaupun isu doping berlaku dalam kalangan banyak negara di dunia namun menjadi tanggungjawab atlet itu sendiri memastikan mereka bebas isu berkenaan agar tidak kerugian.

"Ada kes di mana atlet mengambil makanan tambahan selepas disyorkan mereka yang kurang arif mengenai pemakanan kesihatan termasuk daripada jurulatih sendiri.

"Akibatnya atlet itu positif ujian doping dan kita tidak mahu atlet Sukma 2024 kita akan berhadapan dengan situasi sama hingga memberikan kesan pada kontinjen negeri kita," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu atlet lompat tinggi kebangsaan Ngu Jia Xin disahkan positif doping pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang berlangsung pada Februari lalu di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Artikel Berkaitan:

Atlet dari Perak itu digantung dua tahun daripada menyertai sebarang pertandingan selepas dikesan menggunakan bahan terlarang sibutramine di kejohanan itu.

Khairudin juga berharap Jia Xin akan membuat rayuan susulan terhadap hukuman yang diterimanya.

Geran KBS: Kerajaan negeri bincang segera dengan MBI, Perak FC

Dalam perkembangan lain, Khairudin berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan segera dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Perak FC berhubung tawaran geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran serta penanaman rumput baharu di stadium Perak.

Menurutnya, perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan kerja naik taraf yang bakal dilakukan mewujudkan situasi menang-menang bagi semua pihak.

"Stadium Perak kepunyaan MBI manakala pasukan Perak FC yang bersaing dalam Liga Super dimiliki oleh entiti berlainan dan kita mahu duduk semeja untuk pastikan naik taraf ini memuaskan hati semua pihak agar tiada isu berbangkit.

"Kita mahu semua pihak beri pandangan masing-masing kerana Perak FC selaku pengguna utama mempunyai kehendak dan impian dalam memastikan Stadium Perak mempunyai kualiti padang yang lebih baik," katanya pada sidang media di sini Sabtu malam.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perlawanan Akhir Piala XOX 2023 antara pasukan Kinta Utara (SMK Anderson) menentang Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak (SMK Gunung Rapat) di Kompleks Bola Sepak Perak, Chepor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, paling utama daripada geran yang ditawarkan KBS itu ialah penggantian sistem saliran padang sesebuah stadium untuk berfungsi secara maksimum.

Beliau juga mencadangkan penggunaan rumput jenis Bermuda yang lebih murah sedikit kos penyelenggaraannya seperti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan negeri menerima geran KBS dalam usaha kementerian itu menyediakan kualiti padang yang lebih baik untuk memastikan Liga Malaysia kekal kompetitif.

KBS melalui Menterinya, Hannah Yeoh dilapor menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persediaan musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 manakala RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu selain Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah memberikan bantuan kewangan RM300,000 setahun bagi penyelenggaraan padang dinaik taraf menerusi geran KBS.

Sementara itu, perlawanan itu menyaksikan SSN Perak yang diwakili SMK Gunung Rapat dinobat juara edisi pertama Piala XOX 2023 selepas menumpaskan SMK Anderson yang mewakili Kinta Utara 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0.

Pasukan Batang Padang (SMK Air Kuning) pula menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Hulu Perak (SMK Sultan Idris Shah II, Gerik) 3-1 yang turut ditentukan menerusi sepakan penalti selepas seri 1-1. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!