VAR nafikan kemenangan China

Jaringan melalui tandukan Zhu Chenjie yang dibatalkan selepas semakan VAR. - Foto:"AFP
Jaringan melalui tandukan Zhu Chenjie yang dibatalkan selepas semakan VAR. - Foto:"AFP
A
A
A

PENGENDALI China, Aleksandar Jankovic mengakui pasukannya berdepan tekanan selepas membuka kempen Piala Asia dengan keputusan seri 0-0 menentang Tajikistan pada Sabtu.

Keputusan seri itu memalukan China yang digegarkan dengan skandal rasuah bola sepak, namun mereka sepatutnya meraih kemenangan pada penghujung perlawanan.

China yang juga pasukan finalis 2004 itu, tenggelam dalam perlawanan tersebut selain dinafikan jaringan kemenangan selepas semakan VAR.

Ejekan daripada peminat China kedengaran pada penghujung perlawanan, namun Jankovic enggan menyalahkan pegawai perlawanan.

"Menguruskan tekanan pertandingan besar bukanlah topik baru secara umum. Banyak pasukan mempunyai masalah yang sama dan kami telah banyak bercakap mengenai perkara ini.

"Namun, kami menghadapi beberapa kesukaran pada separuh masa pertama," katanya.

Perlawanan itu berlangsung lima hari selepas bekas jurulatih China, Li Tie muncul di televisyen kebangsaan untuk mengaku dia membayar rasuah untuk mendapatkan pekerjaan itu dan terlibat dalam mengatur perlawanan.

Pengakuan bekas pemain tengah Everton itu adalah sebahagian daripada tindakan keras terhadap rasuah bola sepak yang telah mencetuskan pemecatan sekurang-kurangnya 10 pegawai kanan Persatuan Bola Sepak China.

Artikel Berkaitan:

Skuad China di Qatar dipaksa menonton program televisyen itu, menurut media negara China.

Jankovic berkata, beliau akan membuat beberapa perubahan sebelum pasukannya menentang Lubnan pada perlawanan kedua.

"Kami akan menghidupkan semula enjin pagi esok.

"Tiada pasukan yang tersingkir dan tiada pasukan yang layak selepas satu perlawanan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!