‘Adakah Ahmad Zahid tidak yakin, terdesak kekal berkuasa?’ - Takiyuddin

Takiyuddin. Laporan Sinar Harian
Takiyuddin. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Sebarang usaha untuk menyekat atau memandulkan prinsip demokrasi melalui undang-undang baharu seperti yang dicadangkan dan tindakan-tindakan tidak demokratik lain adalah tertolak serta terbatal secara muktamad.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya satu rang undang-undang (RUU) dibentang bagi menghalang pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurutnya, menjadi suatu perundangan dan amalan yang telah selesai bahawa pertukaran kerajaan di luar PRU adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Pas tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong seorang pemimpin kanan dan veteran seperti Ahmad Zahid membuat cadangan yang begitu novis, terutama sekali selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkali-kali mendakwa bahawa kerajaan pimpinannya mendapat sokongan lebih dua pertiga di Parlimen?

“Adakah Ahmad Zahid tidak yakin dengan dakwaan itu atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai Presiden UMNO walaupun berlawanan dengan keputusan majoriti ahli dan akar umbi parti tersebut?

“Setelah berdepan konflik berterusan dalam UMNO susulan tindakan itu, apakah Ahmad Zahid kini berasa layak untuk mengheret negara ke dalam krisis sama dengan berselindung di sebalik kata-kata hikmat ‘kepentingan rakyat dan negara’ pula selepas menggunakan helah keramat ‘kepentingan ahli dan parti’ sebelum ini?” soalnya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, media melaporkan Ahmad Zahid mencadangkan supaya satu RUU khusus dibentangkan bagi menghalang sesebuah gabungan ataupun mana-mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.

Menurutnya, sesebuah kerajaan itu dapat dibentuk hanya selepas ia mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, tindakan Ahmad Zahid mencadangkan RUU berkenaan disifatkan sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal.

“Ia selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan bukan sahaja di negara ini, tetapi semua negara yang lain dengan syarat pihak-pihak yang mencabar kedudukan kerajaan sedia ada dapat membuktikan sokongan majoriti yang diterimanya sama ada di Parlimen atau melalui saluran-saluran lain yang dibenarkan oleh undang-undang.

"Perlembagaan adalah sangat jelas dalam hal ini dan telah dimaklumi semua bahawa syarat sokongan majoriti ini menjadi asas pembentukan sebuah kerajaan secara sah sama ada susulan PRU atau pada bila-bila masa lain,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!