RUU kekal kerajaan: Elak empat Perdana Menteri satu penggal - Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN
AHMAD MASLAN
A
A
A

PONTIAN - Rang Undang-Undang khusus bagi membolehkan kerajaan mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya sebagaimana yang dicadangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan tindakan tepat bagi menjaga kestabilan politik negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan itu juga penting bagi memberi peluang kepada parti yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) memerintah negara mengikut penggal tanpa diganggu dengan usaha untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

"Kita tidak mahu berlaku seorang Yang di-Pertuan Agong mempunyai empat Perdana Menteri dalam satu penggal. Sebelum ini, seorang Perdana Menteri menjalankan tanggungjawab bersama empat Yang di-Pertuan Agong, tetapi ketika ini sebaliknya yang berlaku dan menyebabkan ketidakstabilan politik.

"Walaupun sekarang ini sudah ada 152 sokongan masih terdapat cerita-cerita untuk menjatuhkan kerajaan, perkara ini amat menganggu kerajaan hari ini, yang mahu melakukan pembangunan untuk rakyat," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian pada sidang akhbar selepas taklimat pembangunan projek bagi daerah Pontian di Pejabat Jabatan Kerja Raya ( JKR) Pontian di sini pada Ahad.

Ahmad (empat dari kiri) bergambar bersama warga kerja JKR Pontian pada Ahad.
Ahmad (empat dari kiri) bergambar bersama warga kerja JKR Pontian pada Ahad.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemukakan cadangan berhubung rang undang-undang khas tersebut bagi memastikan peristiwa terdahulu seperti pertukaran perdana menteri sebanyak tiga kali pada penggal Parlimen ke-14 tidak berulang pada masa hadapan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian sebagai merujuk kepada gerakan ‘Langkah Dubai’ yang dikatakan bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menambah pembangkang perlu membawa usul tidak percaya di Dewan Rakyat untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan dan bukannya dengan akuan bersumpah (SD).

"Saya juga menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pembangkang membuat usul percaya atau tidak percaya di Dewan rakyat pada bulan Februari ataupun Mac nanti.

"Mereka ( pembangkang) telah dicabar oleh Perdana Menteri sebelum ini tetapi mereka tidak berani buat kenapa mereka tak berani buat.

"Saya ingin menyebut sekali lagi segala usaha-usaha mereka itu adalah usaha yang sia-sia, sekadar khayalan dan illusi. Ini kerana sebelum ini mereka katakan pada bulan Oktober akan bertukar kerajaan tetapi tidak berlaku apabila tiba bulan Oktober," katanya.

Oleh itu, Ahmad yang merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Johor secara sinis menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah yang merupakan antara yang lantang mendakwa Kerajaan Perpaduan akan tumbang.

"Berhentilah buat perkara sia-sia wahai Menteri Besar Kedah dan orang-orang seumpama beliau," ujarnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!