Pas Pahang kesal penganjuran konsert di Kuantan bulan depan

Mohd Zarimi
Mohd Zarimi
A
A
A

KUANTAN - Pemuda Pas Pahang kesal dengan penganjuran sebuah konsert yang bakal berlangsung pada 24 Februari depan berbaki 15 hari sebelum ibadah puasa, Ramadan.

Ketua Pemuda negeri, Mohd Zarimi Abu Zih berkata, penganjuran itu jelas menunjukkan tiada langsung sensitiviti kepada keadaan semasa terutama ketika umat Islam di Palestin masih lagi diserang oleh rejim Zionis.

"Kita kini baru memasuki bulan Rejab yang jelas berkaitan dengan isu Palestin. Kedatangan Rejab juga dikaitkan dengan satu doa yang diajarkan baginda Rasulullah SAW menunjukkan Ramadan semakin menghampiri kita.

"Namun apakah rasionalnya pesta muzik Kuantan ini dianjurkan? Yang sepatutnya kita di bulan Rejab dan Syaaban ini menjadikan masa-masa berkah ini dengan memperbanyakkan ibadah, puasa sunat, sedekah, zikir, membaca Al- Quran dan lain lain," katanya pada Ahad.

Beliau berkata, kian hari semakin jauh dengan agama dan sesetengah pihak ingin mengajak masyarakat dengan hiburan tanpa peduli kepada nasib umat Islam yang sering ditekan, disekat berkuliah dan sebagainya?

Jelasnya, memetik ucapan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai "Apa yang tak Islam nya? Pahang ini lebih dari negeri yang mereka perintah,” pada 28 September tahun lalu.

"Jika benar Pahang lebih Islam, kita mendesak agar pihak kerajaan negeri membatalkan penganjuran pesta muzik Kuantan ini sebelum penganjuran ini benar-benar berlaku nanti di saat hampirnya dengan Ramadan.

"Pemuda Pas Pahang memandang serius akan hiburan melampau kian membarah dalam negeri Pahang khususnya dan Malaysia amnya," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zarimi memaklumkan Pemuda Pas akan terus dengan prinsip menerapkan nilai-nilai Islam sesuai dengan matlamat penubuhan parti seperti termaktub di dalam perlembagaan Parti Islam Semalaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!