Hanya enam ambulans masih beroperasi di Gaza
GAZA - Hanya enam ambulans yang masih beroperasi di seluruh Semenanjung Gaza berikutan tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel menyasarkan serangan ke atas kenderaan itu berhampiran hospital.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan, pengeboman menyebabkan puluhan orang awam yang tidak bersalah meninggal dunia dan cedera, termasuk kakitangan perubatan, wanita serta kanak-kanak.
Jelasnya, pihaknya masih bergelut untuk mengendalikan beberapa perkhidmatan penting, termasuk unit rawatan rapi dan taska.
Sebelum ini, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyelar tentera Zionis yang sengaja menyasarkan ambulans di pintu masuk Hospital Al-Shifa.
Serangan ini disifatkan jenayah kejam tidak berperikemanusiaan.
Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam serangan itu, manakala 26 lagi cedera.
Pertubuhan itu yang dilapor Anadolu memberi amaran bahaya keruntuhan hospital berikutan sering dijadikan sasaran, selain bekalan elektrik terputus dan kehabisan ubat-ubatan dan bahan api untuk mengendali generator.
Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, 180 wanita melahirkan anak dalam 'keadaan berbahaya dan tidak berperikemanusiaan' setiap hari di Gaza.
Dalam video yang disiarkan oleh kumpulan itu, seorang doktor cuba membantu seorang wanita melalui kelahiran dengan memberi arahan kepadanya melalui telefon. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!