MOT perlu laksana pelan baharu keselamatan jalan raya
SHAH ALAM - Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu melakukan perubahan pelan keselamatan jalan raya bagi mengelakkan peningkatan jumlah kes kematian yang melibatkan pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia memerlukan kemahuan politik yang kukuh dan komunikasi berkesan daripada pelbagai agensi bagi meningkatkan kesedaran orang ramai menerusi penguatkuasaan, pendidikan serta penglibatan pihak berkepentingan.
Menurutnya, media arus perdana juga perlu memainkan peranan bagi memastikan kempen keselamatan dijalankan mampu memberi kesan sekali gus dapat mengurangkan 50 peratus kematian menjelang tahun 2030 mampu dicapai.
“Kementerian Pengangkutan perlu memikirkan semula langkah komunikasi dan mesej kempen mengenai advokasi dan kesedaran keselamatan jalan raya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Usaha komunikasi sepanjang tahun kepada orang ramai dengan menggunakan media arus perdana termasuk media sosial adalah untuk meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.
“Pada tahun 2023 kita lihat hampir 6,433 nyawa terkorban dan jumlah ini merupakan angka tertinggi dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pada 12 Januari lalu, Menteri MOT, Anthony Loke berkata, mulai tahun ini tidak akan ada lagi majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan di peringkat kementerian.
Ujarnya, setiap kali kempen dianjurkan ia akan melibatkan kos hampir RM200,000 termasuk perbelanjaan cenderamata, makanan, sistem siat dan pemasangan khemah.
Dalam pada itu, Lam Thye berkata, peningkatan sebanyak tujuh peratus kematian pada tahun 2023 berbanding tahun 2022 menunjukkan kegagalan kerajaan menangani masalah tersebut.
Ujarnya, acara keselamatan jalan raya merupakan festival untuk agensi yang terlibat dan wang pembayar cukai digunakan tanpa hasil positif.
“Kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap usaha menyelamatkan nyawa akibat kemalangan dan melaksanakan agenda pembaharuan lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!