Negeri Sembilan bertambah kukuh selepas PRU15 - Aminuddin
KUALA PILAH - Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinannya kini bertambah kukuh dengan perubahan landskap politik negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, wadah politik melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan telah mengakibatkan gencatan politik beberapa parti utama dalam negara sehingga tempias ‘salju’ politik turut dirasai di Negeri Sembilan.
"Alhamdulillah, berkat permuafakatan ini, rakyat di negeri dan negara ini hidup lebih aman berbanding negara luar yang ada hidup dalam kancah peperangan dan mendambakan keamanan,” katanya ketika sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-76 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bersedia meneliti perancangan pembangunan dan konsensus pemimpin di negeri ini bagi memenuhi harapan dan inspirasi rakyat sekali gus memastikan kekayaan dan kemakmuran hasil negeri yang sedang dikecapi kekal mampan.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga terus ke hadapan dengan melancarkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 dan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 berasaskan prinsip utama kemakmuran ekonomi serta merancakkan pembangunan ekonomi digital sehingga 2027.
Beliau berkata, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri tahun ini diunjurkan sederhana dan berkembang empat hingga lima peratus dengan pertumbuhan ekonomi yang masih perlahan dijangka mula dirasai rakyat terutama akibat peningkatan kos sara hidup.
Justeru katanya, kerajaan negeri merangka pelbagai inisiatif supaya corak perbelanjaan dilakar lebih awal sekali gus memastikan kelangsungan pelbagai bidang tumpuan termasuk pemerkasaan ekonomi rakyat, kebajikan, pendidikan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut Aminuddin, kerajaan negeri komited untuk meneruskan libat urus bersama pelabur yang berpotensi sama ada dari dalam mahupun luar negara agar Negeri Sembilan terus menjadi pilihan para pelabur.
"Hasilnya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melaporkan sehingga suku ketiga tahun lepas, sebanyak RM3.14 bilion pelaburan dicatatkan di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi sistem Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan dan akan tetap mempertahankan kedaulatannya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia oleh Israel terhadap Palestin selain telah mengumpul dana bagi menyediakan bantuan kemanusiaan melalui Tabung Prihatin Palestin Kerajaan Negeri Sembilan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!