Hamidin bakar semangat Harimau Malaya

Hamidin (kanan) ketika bertemu pemain negara di Universiti Qatar pada Sabtu.
Hamidin (kanan) ketika bertemu pemain negara di Universiti Qatar pada Sabtu.
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membakar semangat pemain Harimau Malaya menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan E, Piala Asia menentang Jordan di Stadium Al Janoub, Qatar pada awal pagi Selasa.

Menurut Hamidin, ini peluang terbaik buat skuad negara mencipta sejarah mara kali pertama ke pringkat kalah mati kejohanan tertinggi Asia itu.

"Piala Asia ini umpama mini Piala Dunia kerana ia pentas tertinggi di peringkat Asia yang mana kita sendiri hanya berjaya layak ke pusingan akhir secara merit selepas menunggu selama 43 tahun.

"Pencapaian Malaysia di Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini sekadar di peringkat kumpulan pada 1976 dan 1980 serta 2007 (layak selaku tuan rumah bersama).

"Jadi inilah peluang terbaik untuk kita mencipta satu lagi sejarah, mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama," katanya yang hadir ke sesi latihan skuad Harimau Malaya di Universiti Qatar pada Sabtu.

Menurutnya, pentas Piala Asia kali ini juga perlu digunakan dengan baik oleh kesemua pemain dan menganggap ia adalah kejohanan Asia terakhir yang akan disertai mereka.

"Untuk sebahagian pemain, terutamanya pemain-pemain senior, anggaplah ini sebagai pentas terpenting untuk anda memberikan persembahan terbaik kerana mungkin tidak berpeluang untuk beraksi lagi pada Piala Asia 2027 di Arab Saudi," katanya.

Selepas bertemua Jordan, skuad negara akan berdepan Bahrain pada 20 Januari dan Korea selatan lima hari kemudian.

Artikel Berkaitan:

Skuad Harimau Malaya telah berada di Doha, Qatar sejak 1 Januari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!