Polis tahan dua lelaki pecah masuk surau
KLUANG - Polis menahan dua lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah masuk surau di Taman Titiwangsa di sini pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, suspek berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan di Taman Intan, Kluang Barat keesokan harinya.
Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas pakaian, motosikal, peralatan membuka kompresor penyaman udara serta paip tembaga pendingin hawa.
"Pada 10 Januari sekitar jam 1.30 petang, polis daerah Kluang telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berhubung kes pecah masuk surau di Taman Titiwangsa melibatkan kehilangan kompresor penyaman udara.
"Ekoran itu pada 10 Januari mulai jam 11.30 malam sehingga jam 3.30 petang (11 Januari) sepasukan polis dari IPD Kluang telah menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dengan kejadian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Bahrin berkata, hasil siasatan awal suspek pertama mempunyai 13 rekod jenayah dan tiga rekod dadah serta positif morphine hasil ujian air kencing.
"Suspek kedua pula mempunyai satu rekod jenayah dan positif methamphetamine," katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
"Kedua-dua suspek telah direman selama empat hari mulai 11 Januari hingga 14 Januari," katanya.
Sementara itu, Bahrin berkata, pihaknya percaya dengan tertangkapnya dua suspek tersebut, polis IPD Kluang telah berjaya menyelesaikan 10 kes kehilangan kompresor penyaman udara di sekitar Kluang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!