Polis tahan tiga individu hina Sultan Muhammad

Sultan Muhammad V - Foto Bernama
Sultan Muhammad V - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sudah menahan tiga individu pemilik akaun Facebook dan Twitter yang memuat naik komen berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XV.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ketiga-tiga mereka, dua lelaki dan seorang wanita, ditahan semalam.

Menurutnya, ia susulan polis menerima laporan berkaitan tindakan mereka yang memuat naik kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V.

“Kita telah menahan pemilik akaun Facebook, Eric Liew Chee Ling, 45, selain pemilik akaun Twitter, Azham Akhtar Abdullah, 26, dan Nur Alia Astaman, 25, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN : TNB gantung kerja kakitangan hina Agong]

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi menasihatkan pengguna media sosial menggunakan laman berkenaan secara berhemah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat provokatif atau manipulasi isu peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong sehingga mampu menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negara ini.

Terdahulu sehari selepas Sultan Muhammad melepaskan kuasanya sebagai Yang di-Pertuan Agong seorang lelaki bekerja di sebuah syarikat swasta memuat naik kenyataan menghina baginda di Facebook.

Kenyataan berkenaan telah menimbulkan kemarahan masyarakat dan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Semalam seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad bersama suaminya juga memuat naik kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong di Twitter telah digantung tugas oleh majikannya.

Sultan Muhammad V melepaskan jawatannya Ahad lalu dan kini Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah memangku jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-raja menetapkan tarikh 24 Januari ini untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!